Lawatan rasmi PM ke Rusia bermula esok

Lawatan rasmi PM ke Rusia bermula esok

Lawatan hingga Jumaat atas undangan Presiden Vladimir Putin akan merangkumi Moscow dan Kazan, Tatarstan.

anwar ibrahim vladimir putin
Kali terakhir Anwar Ibrahim ke Rusia adalah pada September tahun lepas, dalam lawatan kerja dua hari di mana beliau turut mengadakan pertemuan dengan Vladimir Putin. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan rasmi ke Rusia atas undangan Presiden Vladimir Putin, bermula esok hingga 16 Mei.

Setiausaha akhbar kanannya, Tunku Nashrul Abaidah berkata, lawatan tersebut akan merangkumi Moscow dari esok hingga 15 Mei, dan Kazan, Tatarstan pada 15 dan 16 Mei.

“Perdana menteri juga akan menghadiri Forum Ekonomi Antarabangsa ‘KazanForum’ Ke-16 atas jemputan TYT Rustam Minnikhanov, Rais Republik Tatarstan,” katanya dalam taklimat harian Pejabat Perdana Menteri (PMO).

Tunku Nashrul berkata, Anwar akan berucap di Moscow State Institute of International Relations University (MGIMO), selain mengadakan perjumpaan dengan ahli perniagaan Rusia serta diaspora Malaysia di Moscow.

Di Kazan, perdana menteri akan menyampaikan ucaptama semasa sesi plenari KazanForum pada 16 Mei serta bertemu Rais Tatarstan, tambahnya.

Kali terakhir Anwar ke Rusia adalah pada September tahun lepas, dalam lawatan kerja dua hari di mana beliau turut mengadakan pertemuan dengan Putin.

Bersetuju bahawa potensi sebenar hubungan Malaysia-Rusia belum dimanfaatkan sepenuhnya, beliau menyatakan komitmen negara untuk mempertingkat kerjasama dengan Moscow dalam semua bidang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.