Langkah kerajaan negeri haram vape undang kekeliruan, kata pengusaha industri

Langkah kerajaan negeri haram vape undang kekeliruan, kata pengusaha industri

Nanostix Innovations Sdn Bhd gesa kerajaan negeri semak keputusan haram vape kerana tidak selari undang-undang di persekutuan.

Nanostix Innovations Sdn Bhd berkata langkah beberapa kerajaan negeri haram jual vape turut timbul kekeliruan di kalangan pengguna.
PETALING JAYA:
Pengusaha vape menggesa kerajaan negeri menyemak semula pengharaman penjualan peranti alternatif kepada rokok itu kerana didakwa tidak seiring dengan undang-undang dikuat kuasa persekutuan.

Pengarah Nanostix Innovations Sdn Bhd Shahabudeen Jalil berkata kerajaan persekutuan telah meluluskan Akta Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam bagi mengawal selia industri itu secara sah.

Shahabudeen Jalil.
Shahabudeen Jalil.

Menurutnya, langkah beberapa kerajaan negeri itu telah mengundang kekeliruan bukan saja kepada pemain industri tetapi kepada pengguna susulan penguatkuasaan undang-udang berbeza.

“Sebagai jenama vape tempatan yang telah beroperasi sejak 2018, Nanostix telah mematuhi segala peruntukan perundangan sedia ada.

“Justeru itu, tindakan di peringkat kerajaan negeri itu perlu disemak semula dengan lebih menyeluruh agar tidak berlakunya kekeliruan.

“Nanostix juga berpandangan isu sebenar yang perlu diberi perhatian ialah penyalahgunaan vape oleh pihak tidak bertanggungjawab dengan memasukkan atau menyeludup masuk bahan terlarang seperti ‘vape magic mushroom’ ke Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Johor menjadi negeri pertama mengharamkan penjualan vape sepenuhnya sejak 2016, diikuti Kelantan dan Terengganu yang turut melaksanakan larangan serupa atas dasar kesihatan dan prinsip agama.

Melaka pula dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk mengenakan larangan penjualan vape di kawasan tertentu, manakala Selangor mengkaji pendekatan kawalan ketat menerusi pihak berkuasa tempatan.

Perlis turut meneliti langkah pengawalan lebih ketat susulan peningkatan penggunaan dalam kalangan belia.

Mengulas lanjut, Shahbudeen berkata tindakan mengharamkan penjualan vape hanya akan membuka ruang kepada pasaran gelap atau penyeludupan untuk berkembang tanpa kawalan.

Menurutnya, keadaan itu dibimbangi akan menjadi satu risiko yang jauh lebih besar kepada masyarakat.

Sehubungan itu, pihaknya berharap pihak berkuasa dapat memperkukuhkan penguatkuasaan undang-undang sedia ada, termasuk pemantauan terhadap penyeludupan dadah berbahaya selain kawalan bahan mentah diutamakan kepada produk tempatan bagi memastikan kualiti dan keselamatan pengguna.

“Mengadakan libat urus yang telus dengan industri sebelum membuat keputusan yang memberi kesan besar kepada ekosistem ekonomi tempatan.

“Memberikan kesedaran dan kefahaman kepada pengguna mengenai vape yang mendapat kelulusan Kastam dan Kementerian Kesihatan Malaysia serta vape yang dibawa masuk secara haram,” katanya.

Pertimbang sekat import cecair vape

Shahabudeen menyarankan kerajaan mempertimbangkan untuk mengharamkan atau menyekat sepenuhnya pengimportan cecair vape dari luar negara sebagai langkah kawalan lebih tegas terhadap industri berkenaan.

Menurutnya, tindakan itu penting bagi memastikan hanya produk yang memenuhi piawaian keselamatan dan kualiti ditawarkan kepada pengguna tempatan, sekali gus mengurangkan risiko kemasukan cecair yang mengandungi bahan terlarang atau berbahaya.

“Langkah sekatan import ini juga mampu mengawal lambakan produk tidak berdaftar di pasaran serta memberi ruang kepada pengusaha tempatan yang mematuhi peraturan untuk berkembang secara lebih bertanggungjawab.

“Ia sejajar dengan hasrat kerajaan memperkukuh penguatkuasaan dan melindungi kesihatan awam, khususnya generasi muda yang semakin terdedah kepada penggunaan vape secara meluas,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.