Kenal pasti laluan habitat hidupan liar, gesa aktivis

Kenal pasti laluan habitat hidupan liar, gesa aktivis

Mohammad Hisham Shafe berkata insiden anak gajah dilanggar lori di Gerik tanda jelas gagal menangani isu keselamatan jalan raya di kawasan habitat hidupan liar.

Tular video menyayat hati di media sosial menunjukkan seekor ibu gajah enggan berganjak dari lokasi anaknya dilanggar lori di Gerik, Perak. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Tragedi melibatkan seekor anak gajah dengan sebuah lori di Gerik, Perak, mencetuskan desakan supaya kajian menyeluruh dilakukan bagi mengenal pasti kawasan berisiko tinggi kemalangan melibatkan haiwan liar.

Aktivis keselamatan jalan raya, Mohammad Hisham Shafe, berkata insiden itu bukan kejadian terpencil, sebaliknya tanda jelas kegagalan pihak berkuasa menangani isu keselamatan jalan raya di kawasan habitat hidupan liar.

“Sudah tiba masanya tindakan serius diambil. Kajian komprehensif oleh Jabatan Perhilitan, JKR dan agensi berkaitan perlu dilaksanakan segera untuk mengenal pasti wildlife hotspots,” katanya dalam kenyataan.

Hisham berkata, hasil kajian itu harus disusuli dengan pembinaan lintasan khas untuk haiwan, pemasangan papan tanda amaran yang lebih efektif dan penggunaan teknologi pemantauan yang sistematik.

Mengulas lanjut, beliau turut mempersoalkan aspek pemanduan lori terbabit yang dikatakan gagal membrek apabila pasangan ibu dan anak gajah itu tiba-tiba melintas.

“Persoalan yang wajar dikaji ialah sama ada lori tersebut dipandu laju di kawasan yang diketahui sebagai laluan haiwan liar. Kawasan sebegini memerlukan pemanduan berwaspada dan terkawal,” katanya.

Beliau turut mencadangkan pemasangan lampu antikabus dan sistem amaran visual di kawasan-kawasan berisiko.

“Keselamatan jalan raya bukan hanya tentang melindungi nyawa manusia, tetapi juga tanggungjawab kita terhadap alam sekitar dan kelestarian hidupan liar,” tegasnya.

“Jangan biarkan tragedi ini berlalu tanpa sebarang pelajaran dan pembaikan,” katanya.

Semalam, video menyayat hati berdurasi seminit 11 saat yang tular di media sosial mengundang reaksi simpati dalam kalangan warganet apabila melihat tindakan ibu gajah yang enggan berganjak dari lokasi kerana mahu ‘menyelamatkan’ anaknya.

Difahamkan, kemalangan kira-kira 2 pagi itu membabitkan sebuah lori muatan ayam dan seekor anak gajah yang ditemui terperosok di bawah bahagian hadapan lori berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.