
Bercakap kepada FMT, Kiandee berkata ini kerana dinamik politik Sabah yang sentiasa berubah setiap hari menyebabkan sukar mana-mana pihak termasuk PN membuat pendirian tetap bagi panduan rakyat.
Beliau meramalkan akan ada perkembangan baharu berkait kemungkinan penjajaran GRS, Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) susulan kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim semalam yang mahu ketiga-tiganya bekerjasama, seiring kerjasama pusat.
Menurutnya, timbul persoalan juga sama ada pemimpin komponen GRS mahu bekerjasama dengan PH-BN selepas Pengerusinya Hajiji Noor sebelum ini mengumumkan kemungkinan gabungan parti tempatan itu mahu bergerak solo pada PRN.
“Annuar sepatutnya tidak terperangkap membuat komen terlalu awal kerana dinamika politik sabah masih berjalan, kenyataannya telah terbatal disebabkan perkembangan semasa.
“Saya selaku ketua PN dan Bersatu di Sabah telah memberi taklimat terperinci berdasarkan keadaan dan perkembangan semasa politik Sabah, Annuar patut beri cadangan itu kepada wakil PAS untuk dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN,” katanya.
“Apa pun ‘cadangan yang baik’ bolehlah dibawa ke perbincangan.”
Semalam, Annuar, timbalan pengarah operasi pilihan raya PN mencadangkan komponen itu bertanding bawah GRS pada PRN yang juga sebagai isyarat menyokong Sabah mempunyai ‘payung’ mereka sendiri.
Beliau secara peribadi turut berpandangan pilihan lain adalah PN memberi laluan kepada GRS.
Jumaat lalu, Sekretariat Kerajaan Perpaduan mengumumkan kerjasama PH-BN manakala Hajiji dalam kenyataan susulannya tidak menolak kemungkinan GRS bertanding solo.
Semalam, Anwar berkata beliau mahu kerjasama menjelang PRN Sabah turut melibatkan GRS bersama PH dan BN.