Agihan kerusi jadikan kerjasama GRS-BN rumit, kata pegawai khas Hajiji

Agihan kerusi jadikan kerjasama GRS-BN rumit, kata pegawai khas Hajiji

Mazlan Joehari Manan berkata GRS bukan entiti kecil dan patut tanding lebih separuh daripada 73 kerusi menjelang PRN Sabah.

Mazlan Joehari Manan
Pegawai khas Hajiji Noor, Mazlan Joehari Manan berkata apa jua pakatan pilihan raya dimeterai mesti menjadikan GRS dominan dalam rundingan kerusi. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Pembantu kepada Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Hajiji Noor memberi bayangan sebarang kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) akan menjadi rumit, mengambil kira kerusi diintai kedua-dua gabungan itu.

Mazlan Joehari Manan yang juga pegawai khas ketua menteri berkata, GRS bukan entiti kecil dan sepatutnya bertanding lebih separuh daripada 73 kerusi menjelang PRN Sabah.

“Apa jua pakatan pilihan raya dimeterai, GRS mesti menjadi parti dominan dalam rundingan kerusi termasuk menjuarai hak rakyat,” katanya dalam kenyataan.

Mazlan yang juga ketua Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Lumadan berkata, GRS sepatutnya bertanding sekurang-kurangnya 50 kerusi. Hajiji merupakan presiden PGRS.

“Dan kami (GRS) bersedia solo jika tiada perundingan.”

Sebelum ini, dilaporkan BN Sabah berhasrat bertanding di 38 kerusi.

Beberapa hari lalu, Hajiji yang juga pengerusi GRS berkata gabungan itu bersedia bertanding solo jika keputusan kerjasama BN dan Pakatan Harapan (PH) dimuktamadkan.

Hajiji berkata, parti tempatan harus menjadi tonggak kepada kerajaan negeri, berpegang pada prinsip kerajaan Sabah harus dipimpin parti tempatan yang memahami realiti, budaya, dan keperluan rakyat.

Mazlan ketika mengulas lanjut berkata, GRS tidak boleh dipandang rendah kerana gabungan itu mewakili rakyat Sabah daripada pelbagai latar belakang.

“Kami bukan gabungan biasa-biasa,” katanya sambil menambah GRS mewakili rakyat Sabah yang dahaga kepada pembangunan, kestabilan, dan keadilan.

Semalam, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim menyuarakan keyakinan tiga gabungan berkenaan akan mencapai persetujuan menjelang PRN.

Perdana menteri berkata, kerjasama PH-BN-GRS perlu diutamakan demi kestabilan politik nasional dan negeri.

Sebelum ini Hajiji menyatakan kerjasama antara GRS dan PH Sabah berjalan lancar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.