
Timbalan Pengarah Operasi Pilihan Raya PN, Annuar Musa, berkata ia sebagai isyarat menyokong Sabah mempunyai ‘payung’ mereka sendiri.
Katanya, antara pilihan lain adalah PN memberi laluan kepada GRS.
“Secara peribadi dan dari sudut pandang Muafakat Nasional (MN), saya harap PN mempertimbangkan untuk menyokong GRS hatta jika perlu, mengkaji option (pilihan) bertanding di bawah GRS atau berkecuali bagi PRN Sabah kali ini.
“Lagipun, GRS itu dulunya PN juga. Sekadar lontaran idea secara peribadi, partilah yang buat keputusan nanti,” katanya dalam catatan di Facebook.
Annuar yang juga pengerusi Muafakat Nasional (MN) membuat cadangan itu selepas Sekretariat Kerajaan Perpaduan mengumumkan kerjasama PH-BN, yang disifatkannya memberi tamparan kepada aspirasi rakyat Sabah terutama GRS.
Sementara itu, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata partinya akan bertanding sekurang-kurangnya enam kerusi DUN, pada PRN Sabah.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian, berkata PN sedang meneroka ruang kerjasama politik dengan parti tempatan, termasuk GRS dan Warisan, bagi menentang PH-BN.
Memetik Malaysiakini, Tuan Ibrahim turut meramalkan PRN Sabah bakal menyaksikan pertandingan tiga hingga empat penjuru berdasarkan landskap politik semasa.
Sebelum ini, Pengerusi GRS Hajiji Noor, berkata gabungan itu sedia bergerak solo pada PRN jika benar kerjasama dua gabungan itu berlaku.
Hari ini, Pengerusi PH Anwar Ibrahim menyuarakan hasrat mahu kerjasama menjelang PRN Sabah turut melibatkan GRS, antara lain memberi keutamaan kepada kestabilan politik nasional dan negeri.