PKR pecat 28, termasuk pemimpin menang pemilihan, kerana jadi ahli 2 parti

PKR pecat 28, termasuk pemimpin menang pemilihan, kerana jadi ahli 2 parti

Pada asalnya 36 dipecat, namun 11 diterima kembali jadi ahli setelah buat rayuan, kata Setiausaha Agung Fuziah Salleh.

Fuziah Salleh
Fuziah Salleh berkata, tindakan hanya diambil terhadap ahli jika disahkan PKR bukan parti terakhir yang mereka sertai.
PETALING JAYA:
PKR memecat 28 ahli baru-baru ini, termasuk pemimpin yang menang pada pemilihan, kerana turut menjadi ahli parti lain, menurut Setiausaha Agung Fuziah Salleh.

Beliau berkata, selepas pusingan pertama pencalonan pada peringkat cabang, Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti pada mulanya membincangkan dan mengesahkan pemecatan 36 ahli yang dikenal pasti terlibat.

“Daripada 36 (ahli dipecat), 11 buat rayuan dan mereka diterima semula jadi ahli selepas kemuka bukti komitmen terhadap PKR, termasuk surat sokongan dan rekod kegiatan pada peringkat akar umbi,” katanya kepada FMT.

Tindakan tatatertib selanjutnya diambil selepas pemilihan cabang selesai, dengan tiga pemimpin – ketua Jempol dan Pasir Salak, serta ketua Wanita PKR Besut – dipecat selepas aduan terhadap mereka disahkan.

Dalam kes ketua Jempol, Fuziah berkata, tindakan hanya diambil selepas usaha wajar selesai dijalankan, walaupun pemimpin itu menang, dan pemilihan semula telah diadakan.

Katanya, usaha mengesahkan kes keahlian dua parti tidak semudah yang dianggap, terutamanya apabila bukti dikemukakan tidak kukuh dan garis masa tidak jelas.

PKR hanya mengambil tindakan terhadap ahli sekiranya disahkan PKR bukan parti terakhir yang mereka sertai, tambahnya.

“Kami sering terima aduan tentang keahlian dua atau tiga parti. Perkara pertama saya selalu buat adalah tentukan parti mana yang terakhir mereka sertai.

“Jika (parti terakhir mereka sertai) bukan PKR, maka ada alasan untuk tindakan tatatertib (dikenakan),” katanya.

Fuziah berkata, parti itu tidak mengambil tindakan terhadap ahli yang pernah menyertai Umno sebelum ini tetapi kemudiannya memilih PKR, merujuk kes sejak era Reformasi 1998.

“Ramai ikut Anwar Ibrahim selepas beliau dipecat daripada Umno. Ada yang tidak pernah secara rasmi meninggalkan Umno tetapi akhirnya menyertai PKR. Dalam kes itu, jelas di mana letaknya kesetiaan mereka,” katanya.

Fuziah mengakui sukar untuk mengesahkan rekod keahlian parti, terutamanya apabila akses kepada pangkalan data parti lain adalah terhad.

“Ada parti, kita boleh semak, tetapi parti lain, tak dapat. Itu sebab kita cari petunjuk lain, seperti sama ada orang itu pegang jawatan atau dilihat secara aktif bertanding bawah panji parti lain,” katanya.

Fuziah berkata, kes ahli biasa amat sukar disahkan dan tindakan tidak boleh diambil tanpa bukti kukuh.

“Contohnya, jika orang itu hanya bergambar dengan pemimpin Bersatu, itu bukan bukti muktamad (mereka juga ahli parti lain),” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.