
Presiden PKR berkata, semua calon pada pemilihan parti berkenaan harus disantuni dengan baik supaya semangat persaudaraan dalam kalangan ahli parti kekal utuh.
“Pemilihan ini antara rakan-rakan setia, yang banyak (daripadanya) tokoh reformasi. Oleh itu, kita kena jaga supaya tidak terlanjur kerana kita mahukan (pemilihan ini) untuk kita rangkul sebagai satu kekuatan,” katanya menurut Bernama.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat PKR Sabah, di Tawau.
Pada masa sama, Anwar mengingatkan penyokong kepada pihak bertanding tidak ‘terlajak’ kerana ia boleh mengeruhkan keadaan.
“Ini (PKR) persaudaraan yang harus diperkukuh…selesai sahaja kongres (Kongres Nasional PKR) kita harus bekerja sebagai satu pasukan yang padu,” katanya.
Proses pencalonan pemilihan parti yang berakhir Jumaat lalu, menyaksikan Anwar tidak dicabar bagi jawatan presiden, manakala bagi jawatan timbalan presiden, Nurul Izzah Anwar bakal bertembung dengan penyandang Rafizi Ramli yang juga menteri ekonomi.
Bagi jawatan naib presiden, 12 ahli telah mengemukakan pencalonan masing-masing termasuk empat penyandang iaitu Nik Nazmi Nik Mat (menteri sumber asli dan kelestarian alam), Chang Lih Kang (menteri sains, teknologi dan inovasi), Aminuddin Harun (menteri besar Negeri Sembilan), dan Amirudin Shari (menteri besar Selangor).
Setiausaha Politik Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim pula tidak dicabar untuk menang jawatan ketua Pemuda, manakala Fadhlina Sidek (menteri pendidikan) dan Rodziah Ismail (Ahli Parlimen Ampang) berebut jawatan ketua Wanita.
Kongres Nasional PKR termasuk Kongres Pemuda dan Kongres Wanita dijadualkan berlangsung pada 22 hingga 24 Mei ini di Johor Bahru dengan 23 Mei ditetapkan sebagai hari pengundian.