
Inisiatif ‘Get to Zero’ (GTZ), dilancarkan Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man itu berpaksikan nilai Islamik bagi menangani secara sistematik dan menyeluruh HIV.
Pengumuman projek itu dibuat di tengah-tengah kontroversi papan tanda dinaikan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu
yang memberi amaran terhadap gejala homoseksual, di mana seorang exco negeri berkata ia bertujuan menimbulkan ‘kebencian’ ke atas peri laku homoseksual.
Pengerusi Lajnah Kesihatan PAS Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata GTZ menampilkan pendekatan strategik antaranya pencegahan awal dalam kalangan golongan muda dan berisiko seperti golongan LGBT (lesbian, gay, biseksual, dan transeksual).
Katanya, ia dirumus berdasarkan prinsip A-B-C-D, iaitu ‘abstinence’ (menahan diri), ‘being faithful’ (setia), ‘condom’ (kondom), dan ‘drugs’ (dadah).
Yunus berkata, isu LGBT semakin membimbangkan dan memberi kesan negatif kepada masyarakat, terutama generasi muda.
“Gejala ini bercanggah dengan budaya tempatan dan ajaran Islam, sebagaimana dinyatakan dalam al-Quran. Justeru, usaha pencegahan melalui pendidikan dan kesedaran amat penting,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, PAS juga akan mengadakan program pemulihan rohani dan psikososial, menyediakan rawatan HIV melalui klinik profilaksis pra-pendedahan dan kempen advokasi media untuk membendung kandungan dalam talian dan aplikasi yang mempunyai unsur ‘berisiko seksual’.
“Dengan iltizam bersama, kita mampu melangkah ke arah sifar jangkitan baru, sifar diskriminasi, dan sifar kematian akibat AIDS. Insya-Allah,” katanya.