
Berucap pada perasmian penutup Program Madani Rakyat di Tawau, yang turut dihadiri Ketua Menteri Hajiji Noor, Anwar berkata antara projek berkenaan adalah kerja naik taraf Hospital Tawau, pembinaan pelabuhan kontena di Sepanggar Bay, dan cadangan pembinaan pusat perubatan jantung di Kota Kinabalu.
Beliau berkata, kerajaan turut memperuntukkan lebih RM350 juta bagi pelaksanaan Program Solar Madani, yang menyaksikan Tawau dipilih sebagai lokasi projek rintis, melibatkan pemasangan 40 tiang lampu solar hasil kerjasama dengan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan penglibatan komuniti setempat.
“Kita laksanakan apa yang terbaik untuk rakyat, termasuk menangani masalah kos elektrik, kos tenaga, keperluan sekolah anak-anak, tandas, makmal sains, serta keperluan anggota polis dan tentera seperti perumahan dan pembaikan jalan,” katanya menurut Bernama.
Menurutnya, dalam tempoh lebih dua tahun ini, pelbagai usaha telah dilakukan oleh kerajaan Madani, namun beliau mengakui masih terdapat kekangan tertentu.
Dalam ucapannya, Anwar turut mengumumkan kelulusan peruntukan tambahan RM10 juta bagi melaksanakan kerja penyelenggaraan kedai dan gerai kecil di seluruh Sabah menerusi Projek Siap Tamu Sabah.
“Sempena sambutan Hari Ibu hari ini, ini hadiah kepada para ibu yang ramai berniaga di Tamu Desa ini, supaya penambahbaikan yang dilakukan dapat memberi lebih keselesaan agar dapat berniaga dan berteduh daripada kepanasan dan hujan
“Saya tidak mahu menjadi perdana menteri yang melupakan kesusahan rakyat. Sebab itu, kita sentiasa berusaha sedaya upaya membangunkan Sabah daripada aspek kesalinghubungan, teknologi kecerdasan buatan (AI), digitalisasi serta usaha menoktahkan kemiskinan,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai penganjuran Program Madani Rakyat Sabah bertemakan ‘Menoktahkan Kemiskinan Melalui Keusahawanan’ yang berlangsung selama tiga hari, Anwar berkata program berkenaan merupakan platform terbaik untuk rakyat setempat mendapat pendedahan mengenai pelbagai inisiatif, program, dan projek dilaksanakan kerajaan.