
SKMM dalam kenyataan berkata, siasatan melibatkan kandungan yang dimuat naik melalui akaun Facebook
individu tersebut, yang dipercayai mengandungi elemen jelik melampau berunsur 3R (agama, kaum, dan raja).
Katanya, pemeriksaan dilaksanakan semalam selepas memperoleh waran geledah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur mengikut peruntukan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Hasil daripada pemeriksaan itu, sebuah telefon bimbit dan satu kad SIM telah disita untuk tujuan siasatan lanjut.
“Selain itu, sesi pemeliharaan data dan rakaman percakapan telah diadakan di Balai Polis Pudu semalam,” kata kenyataan itu.
Menurut SKMM, tindakan dilaksanakan adalah mengikut peruntukan undang-undang dan orang ramai dinasihat untuk memberikan ruang agar siasatan dapat dilengkapkan dengan telus dan menyeluruh.
Suruhanjaya itu tidak menamakan pempengaruh yang terlibat atau mengulas lanjut mengenai kandungan media sosial berkenaan.
Namun, Malaysiakini melaporkan, sekumpulan polis bersama pegawai SKMM menghabiskan lebih lima jam semalam di bengkel pemeriksaan kenderaan di Kuala Lumpur untuk melaksanakan waran geledah terhadap pengasasnya, yang juga pempengaruh media sosial, Aliff Ahmad.
Menurut, peguam Aliff, Haziq Aizuddin Subhi mereka tiba di premis berkenaan kira-kira 5 petang dan membawa anak guamnya ke balai polis Pudu.
Aliff pada April lalu mendakwa SKMM cuba mengugutnya dengan menghantar kereta peronda polis ke rumahnya.