
Ia dimuktamadkan dalam satu pertemuan rasmi dipengerusikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak Abang Johari Openg bersama kepimpinan tertinggi Petronas dan Petronas di Perdana Putra, Putrajaya hari ini.
Dalam satu kenyataan, Pejabat Perdana Menteri memaklumkan langkah itu penting bagi memastikan potensi besar yang dikenal pasti daripada kerjasama Petronas dan Petros dapat diteroka secara menyeluruh dan berkesan.
“Ini termasuklah menyegerakan pembekalan tenaga secara komersial ke negara-negara Asean
“Perdana menteri dan Premier Sarawak juga mencapai kesepakatan untuk menyelesaikan semua isu berbangkit sebelum ini melalui rundingan,” kata kenyataan itu.
Pada 4 Mei lalu, Anwar memberi jaminan bahawa isu Petronas dan Petros akan dimuktamadkan segera sebaik sahaja Abang Johari kembali dari lawatan rasmi ke London, United Kingdom.
Petronas sebelum ini dilaporkan mengakui menerima notis undang-undang daripada kerajaan Sarawak memaklumkan anak syarikatnya, Petronas Carigali, beroperasi secara haram di Sarawak dan melanggar Seksyen 7(e) Ordinan Pengagihan Gas Sarawak 2016.
Petronas Carigali diberi tempoh 21 hari untuk mendapatkan lesen diperlukan yang mana jika gagal boleh membawa kepada penalti kewangan bawah Seksyen 21A ordinan itu.
Sebelum itu, ia gagal mendapatkan injunksi di Mahkamah Tinggi Kuching untuk menghentikan saman difailkan syarikat petroleum Sarawak, Petros untuk menghalang mahkamah daripada mendengar saman berkenaan pembayaran gas.