
“Saya betul-betul tidak tahu apa sedang berlaku,” kata Liew apabila ditanya perubahan pakatan politik selepas Barisan Nasional dan PH mengumumkan kerjasama menjelang PRN.
Parti pemerintah, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sejak itu mengancam bertanding solo pada PRN.
“Saya menunggu untuk melihat perkembangan terkini. Sudah tentu, ada isu baharu setiap hari. Secara peribadi, saya hanya memerhati buat masa ini,” katanya menurut Borneo Post.
“Daripada berita saya baca setakat ini, Ketua Menteri (Hajiji Noor) berkata kerjasama (pilihan raya GRS) akan diumumkan selepas DUN dibubarkan,” kata Liew yang juga menteri Sabah dan Adun Api-Api yang pernah ketuai PKR Sabah.
Liew berkata, PH Sabah akan memberi tumpuan bagi memenuhi tanggungjawab sebagai Kabinet kerajaan negeri ‘tanpa mengira apa yang berlaku dan sebarang perubahan yang mungkin atau tidak berlaku’.
Semalam, Sekretariat Kerajaan Perpaduan berkata perundingan kerusi dan kemungkinan perbincangan dengan parti lain akan dikendalikan kepimpinan PH-BN di Sabah, namun keputusan akhir akan ditentukan pimpinan pusat.
Susulan itu, Hajiji berkata GRS bersedia bertanding solo pada PRN jika keputusan kerjasama PH-BN dimuktamadkan.
Katanya, parti tempatan harus menjadi tonggak kepada kerajaan negeri, berpegang pada prinsip kerajaan Sabah harus dipimpin parti tempatan yang memahami realiti, budaya, dan keperluan rakyat.