
Calon timbalan presiden PKR itu, berkata pelantikan Azam itu menyukarkan perubahan mendasar berlaku dalam sistem pentadbiran.
“Pemanjangan kontrak sebegini menyukarkan perubahan mendasar berlaku.
“Kita memerlukan keberanian penjawat awam, pimpinan serta anggota parti dan lainnya untuk memastikan kita punyai kekuatan iltizam untuk membuat pilihan baru,” katanya bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh di X.
Azam Baki dilantik semula buat kali ketiga mengetuai SPRM bagi tempoh setahun lagi berkuat kuasa 13 Mei ini.
Semalam, Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar menerusi kenyataan memaklumkan, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim telah memperkenankan pelantikan semula Azam.
Sebelum ini, Azam, 62, telah dua kali dilantik semula bagi memegang jawatan itu masing-masing selama setahun iaitu dari 12 Mei 2023 hingga 11 Mei 2024 dan dari 12 Mei 2024 hingga 12 Mei 2025.
Beliau dilantik sebagai ketua pesuruhjaya SPRM pada 9 Mac 2020 menggantikan Latheefa Koya yang mengambil keputusan memendekkan kontrak perkhidmatannya selaras dengan Subseksyen 5(3) Akta SPRM 2009.
Azam merupakan nama yang tidak asing dalam landskap penguatkuasaan undang-undang dan usaha pembanterasan rasuah negara.
Dalam sidang Dewan Rakyat pada 2023, Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Parlimen, berkata beliau tidak menukar Azam mengetuai SPRM kerana tidak mahu menimbulkan persepsi ketua pesuruhjaya perlu diganti sekiranya perdana menteri bertukar.
Perdana menteri berkata, mengikut peraturan dan perundangan semasa, SPRM merupakan badan bebas yang tidak tertakluk kepada arahan perdana menteri.
“Sebab itu bila saya ambil alih (menjadi perdana menteri), saya tidak memilih untuk menukar ketua pesuruhjaya SPRM yang dilantik oleh Pagoh (Muhyiddin Yassin) untuk tidak menimbulkan persepsi bahawa seorang perdana menteri baharu akan melantik seorang ketua SPRM baru, sebab itu saya kekalkan.”