
Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat MIC P Kamalanathan berkata Najib telah membuktikan segala tindakannya adalah demi kepentingan kaum itu.
Menurutnya, Najib sebagai perdana menteri dari 2009 hingga 2018 telah memperuntukkan hampir RM1 bilion bagi membangunkan infrastruktur sekolah Tamil di seluruh negara dan tidak pernah menolak permohonan tambahan dana.
“Tiada perdana menteri sebelum Najib dan selepasnya yang pernah melakukan sebegitu,” katanya kepada FMT selepas sebuah program perhubungan awam.
Beliau mengulas tinjauan yang menunjukkan majoriti masyarakat India Malaysia menyokong usaha Najib untuk mendapatkan pengampunan diraja.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu kini sedang menjalani hukuman penjara selepas disabitkan kesalahan rasuah dan salah guna kuasa berkaitan dana SRC International.
Kamalanathan, yang pernah berkhidmat sebagai timbalan menteri pendidikan di bawah pentadbiran Najib dari tahun 2013 hingga 2018, berkata beliau berharap bekas presiden Umno itu dibenarkan menjalani tahanan rumah bagi melengkapkan hukuman penjaranya.
Kamalanathan turut mengimbas kembali satu kejadian apabila beliau memohon peruntukan tambahan sebanyak RM10 juta bagi prasekolah Tamil.
Najib ketika itu berkata beliau telah pun memperuntukkan RM50 juta untuk sekolah Tamil, tetapi Kamalanathan menjelaskan bahawa dana tambahan diperlukan untuk membina 50 buah prasekolah Tamil.
Ketika pembentangan Belanjawan 2016, Najib mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM10 juta itu.
Kamalanathan, bekas Ahli Parlimen Hulu Selangor, turut menyatakan bahawa Najib telah meningkatkan pengambilan pelajar India ke universiti awam daripada 1,500 kepada 2,200 orang.
“Beliau tidak seperti perdana menteri yang lain,” katanya.