Manchester United ke KL untuk aksi istimewa 28 Mei

Manchester United ke KL untuk aksi istimewa 28 Mei

Manchester United akan menentang Asean All Stars di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 28 Mei ini.

manchester united
Ruben Amorim berkata kehadiran penuh skuad Manchester United bukan sekadar tuntutan komersial, tetapi simbol penghargaan kepada peminat setia menyokong mereka ketika prestasi merudum musim ini. (Gambar EPA Images)
PETALING JAYA:
Ruben Amorim akan membawa semua pemain utama Manchester United menyertai aksi istimewa menentang Asean All Stars di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 28 Mei ini.

Amorim berkata, aksi di Bukit Jalil mungkin menjadi sambutan kejayaan berganda bersama ribuan penyokong Malaysia, jika United berjaya menjuarai Liga Europa dengan menewaskan Tottenham dalam final di Bilbao pada 21 Mei ini.

“Ya, kami akan bawa semua pemain. Saya sendiri telah dirujuk untuk jelajah ini,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kehadiran penuh skuad gergasi bola sepak Inggeris itu bukan sekadar tuntutan komersial, tetapi simbol penghargaan kepada peminat setia menyokong mereka di kala prestasi merudum musim ini.

“Ini salah satu cara kami berhubung semula dengan penyokong, terutamanya selepas musim yang mengecewakan.

“Ini perkara paling minimum yang kami boleh lakukan untuk penyokong yang kecewa. Kami ingin bina semula rasa kekeluargaan dalam kelab.”

United akan meneruskan siri jelajah itu dengan aksi kedua di Hong Kong pada 30 Mei nanti.

Tiket untuk menyaksikan aksi istimewa skuad Red Devils di Bukit Jalil boleh didapati di myticketempire.com.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.