
Gary Theseira, pengarah Climate Governance Malaysia, menegaskan bahawa Indonesia dan Filipina telah pun menyatakan hasrat untuk menerokai penjanaan tenaga nuklear walaupun berada di kawasan mempunyai ketidakstabilan geo-tektonik yang ketara dan risiko gempa bumi dan tsunami yang tinggi.
Beliau berkata menempatkan loji janakuasa nuklear di bahagian yang aktiviti teknoniknya kurang aktif di Asia Tenggara, seperti Malaysia, akan menjadi pendekatan lebih logik.
Walau bagaimanapun, pengenalan tenaga nuklear di Malaysia masih menjadi isu kontroversi. Walaupun ada yang menyebut kelebihannya, yang lain telah memberi amaran terhadap risiko yang ditimbulkannya.
Malah kerajaan juga cenderung kepada penggunaan bahan api fosil yang berterusan buat masa ini.
Pada Forum Ekonomi Dunia di Davos awal tahun ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata Malaysia tidak berada dalam ‘keperluan mendesak’ untuk menggunakan tenaga nuklear kerana negara masih melihat banyak potensi dalam tenaga solar dan Grid Kuasa Asean.
Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan meneroka penggunaan tenaga nuklear, terutamanya dengan pusat data besar Malaysia dalam perancangan.
Theseira mengakui walaupun tenaga nuklear cekap dan sesuai untuk kegunaan industri, ia menghadapi cabaran seperti kos yang tinggi, kebimbangan keselamatan dan pengurusan sisa.
“Namun begitu, risiko itu wajar apabila dipertimbang dengan kos manusia dan alam sekitar bagi penggunaan meluas bahan api fosil,” katanya.
“Realitinya ialah di bawah parameter operasi standard, yang secara umumnya dianggap boleh diterima, penggunaan bahan api fosil konvensional mengakibatkan kematian yang jauh lebih besar akibat kemalangan dan pencemaran susulan penggunaan tenaga nuklear,” tambahnya.
Beliau mencadangkan kerajaan bekerjasama Filipina dan Indonesia untuk membangunkan loji nuklear di Malaysia. Tenaga yang dijana kemudiannya boleh dikongsi dengan negara yang terdedah kepada gempa bumi dan tsunami, katanya kepada FMT.
‘Berisiko dan tidak perlu’
Penentang kuat tenaga nuklear ialah Presiden Sahabat Alam Malaysia, Meenakshi Raman. Beliau menekankan bahawa memilih tenaga nuklear bukan sahaja berisiko tetapi juga tidak perlu memandangkan terdapat pilihan lain seperti tenaga solar.
Dia menyamakan penggunaan tenaga nuklear untuk menangani pelepasan karbon seperti memukul lalat dengan bom tangan. “Jumlah pelepasan karbon yang kita sumbangkan secara global hanya 0.8%,” katanya kepada FMT.
Meenakshi juga menekankan sistem pengurangan risiko Malaysia yang lemah, memberi amaran penggunaan teknologi berisiko tinggi seperti tenaga nuklear boleh memakan diri kerana kelemahan sedia ada akhirnya boleh menjejaskan pengurusan nuklear yang selamat.
“Kita tidak dikenali dengan ketegasan memandangkan jenis contoh yang kita ada, daripada pencemaran Sungai Kim Kim, kejadian keracunan radioaktif di Bukit Merah dan letupan saluran paip gas Petronas.
“Terdapat banyak bencana yang berpunca daripada pengurusan yang lemah dan kawalan yang lemah,” tambahnya.
Pakar kelestarian dan perubahan iklim Renard Siew berkata walaupun cabaran pengurangan risiko adalah kebimbangan yang munasabah namun isu sebenar bukanlah keupayaan, tetapi kesediaan untuk melabur dalam membina perlindungan yang betul, struktur tadbir urus dan kepercayaan awam.
“Sebagai contoh, dalam sektor penerbangan, keselamatan awam adalah yang paling utama; satu kegagalan sahaja boleh menyebabkan bencana besar.
“Seperti nuklear, penerbangan menggabungkan risiko tinggi dengan toleransi yang rendah terhadap kesilapan, dengan kepercayaan awam terhadap penerbangan telah diperoleh dari semasa ke semasa melalui ketelusan, penguatkuasaan yang konsisten dan penambahbaikan berterusan,” katanya.
Kuasa nuklear untuk menyokong lonjakan pusat data
Sherrifah Noor Khamseah Syed Ahmad Idid, seorang penyokong inovasi nuklear, menekankan keperluan mendesak untuk mengkaji dan mewujudkan tenaga nuklear di Malaysia, susulan lonjakan pelaburan dalam pusat data.
“Keutamaan syarikat-syarikat ini terhadap tenaga bersih – terutamanya nuklear – menandakan peluang bagi Malaysia untuk mengintegrasikan tenaga nuklear ke dalam campuran tenaganya,” katanya, sambil menambah ia boleh membantu Malaysia mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050 selaras dengan Perjanjian Paris.