Kumpulan pelajar UM kritik dasar ‘flip-flop’ matrikulasi

Kumpulan pelajar UM kritik dasar ‘flip-flop’ matrikulasi

Presiden Umany Lim Jing Jet persoal dasar tidak iktiraf A- sebagai gred A.

KPM BUILDING-PUTRAJAYA-KEMENTERIAN PENDIDIKAN-1
Presiden Umany Lim Jing Jet mengingatkan KPM ‘dasar 10A’ diumumkan sebelum ini, di mana semua pelajar bukan Bumiputera mendapat semua 10A dalam SPM, layak masuk ke program matrikulasi.
PETALING JAYA:
Satu kumpulan pelajar Universiti Malaya mengkritik kerajaan berhubung ‘dasar flip-flop’ mengenai kelayakan pemegang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bukan Bumiputera bagi kemasukan ke program matrikulasi.

Presiden Persatuan Belia Baharu Universiti Malaya (Umany), Lim Jing Jet, mempersoalkan pekeliling Kementerian Pendidikan bertarikh 30 April mengisytiharkan A- tidak lagi diiktiraf sebagai gred A.

Dalam pekeliling itu menyatakan gred A merujuk A dan A+, termasuk empat subjek digredkan sebagai merit.

Dalam kenyataan, Lim membandingkan perkara itu dengan pengenalan dasar ’10A’ tahun lalu, dan janji pelajar bukan Bumiputera yang berjaya mendapat 10A dalam SPM, layak masuk dalam program matrikulasi.

“Mengikut dasar 10A itu, pelajar mendapat 9A+ dan 1B dianggap kurang layak berbanding pelajar 10A-, di mana jelas tidak munasabah dan tidak adil.

“Namun, ketika itu Kementerian Pendidikan mengabaikan kebimbangan orang ramai dan tetap meneruskannya secara unilateral.

“Dasar ‘penguncupan’ terbaru ini hanyalah cubaan kerajaan mengehadkan jumlah pemohon layak dan bagi menutup kelemahan struktur yang lebih mendalam dalam sistem,” katanya.

Pada 30 Jun tahun lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata semua pelajar mendapat 10A ke atas dalam SPM, tanpa mengira kaum dan latar belakang dijamin tempat dalam kolej matrikulasi, bermula pengambilan 2025.

Lim berkata, Umany mengkritik kerajaan kerana menggunakan dasar 10A bagi ‘memujuk pengundi bukan Bumiputera’, sedangkan enggan menangani isu akar kuota kaum dalam kemasukan ke universiti.

“Kuota kaum 90:10 yang telah lama diamalkan dalam program matrikulasi secara signifikan menghadkan akses pelajar bukan Bumiputera kepada pendidikan tinggi dan melemahkan daya saing bakat negara secara keseluruhan.”

Katanya, pihaknya menuntut pemansuhan sistem kuota kaum dan menubuhkan mekanisme kemasukan universiti secara bersepadu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.