
Kem tersebut diadakan bertujuan membangunkan potensi diri anak-anak berkenaan ke arah mencapai kecemerlangan pelajaran serta masa depan mereka.
Pengerusi YKM Ismail Sabri Yaakob berkata program yang julung kali diadakan ini adalah inisiatif berterusan yayasan itu dalam melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang dalam pendidikan, malah kalis cabaran di masa depan.
“Kem Semarak Harapan Anak Bangsa ini dirangka khas untuk membangunkan kekuatan fizikal, mental, emosi dan sosial anak-anak YKM ekoran trauma yang dialami selepas kehilangan ahli keluarga tercinta akibat pandemik Covid-19.
“Keunikan kem ini juga adalah modul dan pengisiannya yang menggunakan elemen berkuda dan memanah sebagai alat pembelajaran, terapi dan pembangunan kendiri sambil memupuk semangat keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran seperti sebuah keluarga besar, Keluarga Malaysia,” katanya.
Ismail turut menzahirkan harapan kepada anak-anak ini agar terus menimba ilmu dan meneruskan pengajian sehingga ke peringkat tertinggi kerana pendidikan adalah aset penting yang dapat mengubah kehidupan seseorang ke arah yang lebih baik.
Beliau juga turut meluangkan masa bersama anak-anak YKM di kem Ladang Alam Warisan pada hari pertama sewaktu aktiviti ‘ice breaking’ bagi mengenali dengan lebih rapat setiap peserta yang menyertai kem selama empat hari ini.
Kem ini menerapkan beberapa nilai penting dalam pengisian program yang akan dipecahkan kepada lima fasa iaitu jati diri, kepimpinan, kerja berpasukan, pemikiran secara kritis dan keusahawanan.