Veteran Umno tegas ramai Melayu juga simpati dengan Najib

Veteran Umno tegas ramai Melayu juga simpati dengan Najib

Pengerusi Othman Desa kata majoriti ahli Umno bersimpati dengan nasib Najib Razak, susulan tinjauan mengatakan hanya 43% sokong pengampunan.

najib razak
Tinjauan Merdeka Center mendapati hanya 43% orang Melayu menyokong pengampunan Najib Razak. (Gambar EPA Images)
PETALING JAYA:
Veteran Umno tampil menegaskan masih ramai orang Melayu bersimpati dengan bekas perdana menteri Najib Razak, susulan tinjauan mengatakan hanya 43% menyokong pengampunannya.

Pengerusi Othman Desa berkata majoriti ahli Umno bersimpati dengan nasib bekas presiden mereka yang sedang menjalani hukuman penjara selepas disabit bersalah menyeleweng wang.

“Bukan orang Melayu tak sokong, mereka sokong tapi tak banyak kajian yang dilakukan pada mereka,” katanya kepada FMT.

Othman ditanya tentang tinjauan badan pemikir Merdeka Center yang mendapati masyarakat India paling kuat menyokong pengampunan diraja Najib Razak, iaitu dengan 62.2% responden.

Tinjauan sama mendapati Bumiputera Muslim yang menyokong pengampunan Najib adalah 50.5% manakala orang Melayu 43%.

Tinjauan dikendalikan NGO Projek Sama itu dijalankan dari 27 Mac hingga 17 April membabitkan 1,210 responden dari 222 kawasan Parlimen.

Walaupun Najib mendapat sokongan majoriti pengundi Barisan Nasional dan segmen komuniti Melayu serta Bumiputera Muslim, sentimen keseluruhan adalah menentang usaha pengampunannya.

Menurut Thomas Fann yang mengetuai Projek Sama, sebanyak 57.8% daripada responden menentang permohonan pengampunan Najib, dengan alasan pengkhianatan terhadap kepercayaan awam, kes mahkamah yang masih berjalan, dan keengganannya untuk mengaku bersalah.

Sebaliknya, hanya 32.7% menyokong pengampunan, kebanyakannya atas alasan sumbangan Najib kepada negara.

Penyelidik Merdeka Center, Tan Seng Keat, berkata sampel seramai 1,210 responden itu selaras piawaian tinjauan antarabangsa dan mencerminkan sentimen umum orang ramai, walaupun kumpulan fokus susulan diperlukan untuk meneliti dapatan tersebut lebih mendalam.

Othman bagaimanapun tidak bersetuju dengan cara tinjauan itu dibuat. “Mana ada orang buat kajian membangkang atau tak setuju. Kajian itu tidak lengkap,” katanya.

Najib disabitkan bersalah menyeleweng RM42 juta daripada SRC International Sdn Bhd dan menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022.

Pada 2 Feb tahun lalu, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengumumkan hukuman penjara bekas Ahli Parlimen Pekan itu dikurangkan dari 12 ke enam tahun, dan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Othman yang juga ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno berkata pihaknya akan sentiasa berusaha memohon pengampunan penuh untuk Najib dan yakin usaha itu akan berhasil.

“Maknanya kita perlu teruskan usaha-usaha ini. Bukan tak ada contoh, sebelum ini kita adakan perhimpunan untuk Najib,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.