
Stephen Olson, yang mewakili AS dalam rundingan dua perjanjian perdagangan bebas sebelum ini, berkata Malaysia mempunyai pengaruh terhad dalam rundingan itu.
Katanya, Trump tidak kisah langsung walaupun Malaysia mengugut untuk mengenakan tarif 500% terhadap AS.
Olson mencadangkan Malaysia membangkitkan tekanan lain yang berpotensi semasa rundingan, seperti isu korporat dan geopolitik.
Beliau berkata perunding Malaysia harus memberi penekanan bagaimana AS mendapat manfaat daripada hubungan perdagangan dan ekonomi dengan Malaysia.
“Secara jujurnya, saya tidak nampak sebarang senario di mana tarif 0% adalah dalam lingkungan kemungkinan di sini,” katanya.
AS telah menjadi rakan dagang ketiga terbesar Malaysia sejak 2015, dengan jumlah perdagangan antara kedua-dua negara melonjak 29.9% kepada RM324.91 bilion tahun lalu.
Olson yang juga felo kanan pelawat di Institut Yusof Ishak di Singapura, berkata komitmen untuk membeli lebih banyak produk AS mungkin menarik perhatian Trump, yang menggunakan imbangan perdagangan untuk menilai sama ada sesebuah negara ‘menang atau kalah’ dalam perdagangan.
Trump berpegang pada pandangan bahawa defisit perdagangan dengan sesebuah negara menunjukkan bahawa negara itu sedang ‘mengalahkan’ AS.
Sehubungan itu, Olson berkata pegawai perdagangan Malaysia perlu menilai sama ada kos untuk membeli lebih banyak produk dari AS berbaloi berbanding faedah mengurangkan atau menghapuskan tarif.
Bulan lalu, AS mengumumkan tarif ke atas barangan yang diimport dari kira-kira 60 negara, dengan kadar berbeza. Malaysia dikenakan tarif 24% ke atas kebanyakan eksportnya ke AS.
Tarif itu kemudiannya ditangguhkan selama 90 hari untuk memberi ruang kepada rundingan perdagangan. Namun, duti menyeluruh sebanyak 10% kekal dikenakan ke atas hampir semua import ke AS.
Pada Isnin, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz berkata objektif utama negara ialah mendapatkan penghapusan, atau sekurang-kurangnya pengurangan ketara, tarif yang dikenakan ke atas barangan Malaysia.
Beliau berkata pasukan rundingan Putrajaya, yang akan memulakan rundingan pada Selasa, akan diketuai Ketua Setiausaha Kementerian Bagi Perdagangan, Mastura Ahmad Mustafa. Washington menamakan seorang penolong wakil perdagangan AS sebagai ketua perunding mereka.
Olson berkata walaupun tekanan politik dalaman adalah pertimbangan utama, delegasi Malaysia mesti mengambil kira satu faktor yang lebih penting.
“Dan itu ialah hakikat bahawa presiden AS menganggap dirinya sebagai ‘ketua perunding perdagangan’,” kata Olson.
“Berapa banyak kuasa sebenar yang dimiliki perunding AS? Adakah keputusan akhir akan dibuat di Pejabat Oval? Ia masih tidak jelas sekarang.”
Tengku Zafrul, yang mengetuai delegasi Malaysia ke Washington bulan lalu, memberitahu media bahawa birokrat Amerika menyuarakan kebimbangan dalam mesyuarat itu mengenai halangan bukan tarif Malaysia dan defisit perdagangan AS sebanyak USD25 bilion dengan Malaysia.
Namun, menteri itu berkata beliau mengingatkan mereka bahawa syarikat berkaitan kerajaan Malaysia telah melabur hampir USD45 bilion dalam pasaran ekuiti dan bon AS.
Pada sidang media, Tengku Zafrul juga berkata beliau memberi jaminan kepada Washington bahawa Malaysia mengekalkan dasar perdagangan terbuka dan berkecuali, termasuk hubungan baik dengan rakan seperti China, Kesatuan Eropah dan negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC).
Menteri itu turut berkata AS mengemukakan empat tuntutan, iaitu meminta Malaysia menangani halangan bukan tarif, mengurangkan defisit perdagangan, melindungi teknologi AS, dan meningkatkan pelaburan dalam industri Amerika.
Sekatan import halal dan keperluan ekuiti Bumiputera telah disenaraikan sebagai halangan bukan tarif dalam 2025 National Trade Estimate Report oleh Pejabat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat.
Olson berkata beliau tidak pasti sama ada pelaburan Malaysia sebanyak USD45 bilion dalam pasaran AS, seperti yang disebut oleh Tengku Zafrul, memberi sebarang kuasa tawar-menawar yang bermakna kepada Putrajaya.
Beliau berkata itu banyak bergantung kepada sejauh mana Trump mengambil berat terhadap konstituensi atau kepentingan perniagaan yang akan terjejas jika Malaysia menarik pelaburan tersebut.
Olson juga berkata janji Zafrul mengenai dasar perdagangan berkecuali mungkin tidak menarik minat Washington.
“Pentadbiran Trump nampaknya mahukan sesuatu yang jauh lebih daripada sekadar berkecuali dalam rundingan ini – ia mahu negara-negara menyertai usaha AS untuk mengasingkan China,” katanya.