Saifuddin tak tanding sebarang jawatan

Saifuddin tak tanding sebarang jawatan

Pegawai tugas-tugas khas Saifuddin Nasution Ismail kata beliau tidak teruskan pencalonan bagi sebarang jawatan.

PETALING JAYA:
Bekas setiausaha agung PKR Saifuddin Nasution Ismail tidak akan bertanding sebarang jawatan dalam pemilihan parti bulan ini, sambil menyatakan hasratnya untuk menumpukan kepada perjuangan politik parti yang lebih meluas.

Saifuddin dijangka mencabar jawatan timbalan presiden, yang kini disandang oleh Rafizi Ramli.

Pegawai tugas-tugas khas beliau, Omar Mokhtar Manap, berkata Saifuddin yang juga setiausaha agung Pakatan Harapan (PH), membuat keputusan itu selepas berbincang dengan beberapa pihak, termasuk pucuk pimpinan PKR.

“Pesanan beliau adalah agar kita semua terus teguh di atas landasan perjuangan, bekerja keras dalam memperkukuh parti, dan mengutamakan dua matlamat utama: memenangi PRU16 dan memastikan Anwar Ibrahim berkhidmat untuk penggal kedua sebagai perdana menteri,” kata Omar.

Kenyataan beliau dikeluarkan hanya beberapa jam sebelum pencalonan untuk jawatan kepimpinan pusat PKR ditutup malam ini.

Setakat ini, hanya dua calon untuk jawatan timbalan presiden ialah Rafizi dan Nurul Izzah Anwar, manakala Anwar adalah calon tunggal berdaftar untuk jawatan presiden PKR dan dijangka mengekalkan jawatan itu tanpa bertanding.

Saifuddin sebelum ini berdiam diri sama ada beliau akan bertanding dalam pemilihan pimpinan pusat PKR pada 23 Mei. Ahad lalu, Saifuddin berkata beliau telah mengadakan perbincangan panjang dengan Rafizi dan beberapa pertemuan dengan Anwar sama ada akan bertanding.

Awal hari ini, seorang pemimpin PKR menolak laporan berita yang mendakwa Saifuddin telah dinasihatkan untuk tidak bertanding jawatan timbalan presiden.

“Tiada arahan sedemikian telah diberikan kepada sesiapa, termasuk Saifuddin,” kata sumber yang enggan dikenali itu kepada FMT.

Sumber itu menjawab satu artikel di Sin Chew Daily yang mendakwa Saifuddin telah dinasihatkan supaya berundur dan memberi laluan kepada Nurul Izzah, yang merupakan anak sulung Anwar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.