Rafizi pertahan jawatan No 2 PKR, dicabar Nurul Izzah

Rafizi pertahan jawatan No 2 PKR, dicabar Nurul Izzah

Timbalan presiden PKR itu secara rasmi mendaftar sebagai calon sekali gus mengesahkan pertandingan dengan Nurul Izzah Anwar.

Rafizi Ramli
Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli dipilih sebagai timbalan presiden PKR pada 2022.
PETALING JAYA:
Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli secara rasmi mendaftar untuk mempertahankan jawatannya dalam pemilihan pucuk pimpinan parti.

Semakan di laman web pemilihan PKR mengesahkan pencalonannya, sekali gus menyaksikan persaingan dengan Naib Presiden Nurul Izzah Anwar, yang juga mendaftar bertanding jawatan nombor dua itu.

Pencalonan ditutup pada 11.59 malam hari ini.

Ramai pemimpin tertinggi dan bahagian menyatakan sokongan kepada Nurul Izzah yang juga bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh untuk jawatan nombor dua dimenangi Rafizi pada 2022 selepas menewaskan bekas setiausaha agung PKR Saifuddin Nasution Ismail.

Rafizi telah dua kali mengisytiharkan hasratnya mempertahankan jawatan itu.

Pada Mac, Rafizi berkata beliau ‘tiada pilihan’ selain bertanding semula, menyatakan keperluan untuk persaingan dalaman yang sihat, tidak akan mengalih perhatian daripada peranan PKR dalam kerajaan.

Rafizi mengesahkan keputusannya hanya dua hari lalu, mengatakan bahawa dia mengalu-alukan pencabar ke jawatan itu.

Beliau kini berkhidmat sebagai menteri ekonomi dalam barisan Jemaah Menteri pimpinan Anwar Ibrahim. Rafizi juga Ahli Parlimen Pandan, kerusi pernah disandangnya dari 2013 hingga 2018.

Dia berundur daripada politik pada Disember 2019 untuk memberi tumpuan kepada Invoke, sebuah syarikat data diasaskannya yang memainkan peranan penting dalam kempen politik dan mobilisasi akar umbi.

Rafizi kembali berpolitik pada 2022 apabila bertanding jawatan timbalan presiden PKR buat kali pertama.

Perebutan jawatan itu nampaknya bakal menjadi pertandingan tiga penjuru antara Rafizi, Nurul Izzah dan Saifuddin.

Bagaimanapun, Saifuddin masih belum mendaftar secara rasmi sebagai calon.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.