Perkeso lanjut bulan pemutihan hingga 31 Mei

Perkeso lanjut bulan pemutihan hingga 31 Mei

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata majikan yang gagal daftar pekerja selepas tempoh itu akan dikenakan tindakan.

kilang makanan 29524
Sejak bulan pemutihan Perkeso dilancarkan pada April lalu seramai 8,234 majikan dan 61,746 pekerja membabitkan 46,094 pekerja tempatan serta 15,652 lagi pekerja asing berjaya didaftarkan.
KUALA LUMPUR:
Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) melanjutkan pelaksanaan bulan pemutihan sehingga 31 Mei bagi memberi peluang terakhir kepada majikan yang masih belum mendaftar dan mencarum untuk pekerja mereka.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata sekiranya majikan masih gagal berbuat demikian selepas tarikh itu tamat mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang.

“Kepada semua majikan, tampil untuk mencarum dan daftarkan pekerja. Anda akan dikecualikan dari bayaran denda.

“Selepas 31 Mei tiada lagi belas kasihan. Majikan yang gagal mencarumkan untuk pekerja mereka akan dikenakan tindakan undang-undang,” katanya dalam sidang media di Menara Perkeso.

Sim berkata, lanjutan itu dibuat susulan sambutan menggalakkan daripada majikan yang menyaksikan peningkatan sehingga 40% mendaftar pekerja mereka berbanding tempoh sama tahun lalu.

Katanya, sejak bulan pemutihan Perkeso dilancarkan pada April lalu seramai 8,234 majikan dan 61,746 pekerja membabitkan 46,094 pekerja tempatan serta 15,652 lagi pekerja asing didaftarkan.

Dalam tempoh sama, sebanyak 913 notis Faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB) melibatkan 433 majikan baharu telah dikecualikan, membabitkan jumlah keseluruhan RM226,980.

Beliau turut mengumumkan penawaran pengurangan sehingga 50% bagi FCLB ke atas majikan sedia ada dan dikecualikan terhadap mereka yang mempunyai kes tuntutan faedah dan pendakwaan serta notis kompaun.

Tambahnya, inisiatif pelanjutan tempoh pemutihan ini mengambil kira perayaan Aidilfitri dan cuti Hari Pekerja yang baru berlalu, sekali gus memberi peluang kedua kepada majikan untuk tampil mendaftar secara sukarela.

Majikan yang gagal berbuat demikian boleh dikenakan tindakan kompaun sehingga RM5,000 mengikut kesalahan yang dilakukan dan FCLB juga akan dikenakan ekoran kegagalan membayar caruman dalam tempoh yang ditetapkan.

Majikan juga boleh didakwa di mahkamah dan jika disabit kesalahan dan boleh dijatuhi hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.