Percubaan Muhyiddin tak mungkin tarik sokongan bukan Melayu, kata penganalisis

Percubaan Muhyiddin tak mungkin tarik sokongan bukan Melayu, kata penganalisis

Azmi Hassan kata faktor terbesar menyebabkan orang Melayu tak sokong PN adalah PAS.

muhyiddin yassin, lim kit siang, akmal saleh n p ramasamy
Percubaan Muhyiddin Yassin meletakkan ungkapan beliau ‘Melayu terlebih dahulu’ sebagai tak penting lagi telah dikritik Lim Kit Siang dan Akmal Salleh, namun disambut baik oleh P Ramasamy.
PETALING JAYA:
Seorang penganalisis politik berpandangan percubaan Muhyiddin Yassin meletakkan ungkapan beliau ‘Melayu terlebih dahulu’ sebagai ‘tak penting lagi’ tidak mungkin meningkatkan sokongan bukan Melayu kepada Perikatan Nasional, malah meragui impak langkah tersebut.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata faktor terbesar yang menyebabkan orang Melayu tidak menyokong PN adalah PAS dan pandangan parti itu yang dilihat keras.

Beliau juga berkata kenyataan Muhyiddin itu tidak mungkin mengurangkan sokongan kepada PN kerana undi Melayu sebahagian besarnya utuh bersama PAS.

Azmi Hassan.

“Sokongan orang Melayu kepada PN bukan kerana Bersatu tetapi kerana PAS.

“Saya tak fikir ini (kenyataan Muhyiddin) akan merunsingkan pemimpin PAS, kerana mereka tidak pernah mengatakan bahawa mereka berjuang untuk orang Melayu. Perjuangan mereka adalah menjaga kesucian Islam.

“Sudah tentu, secara tidak langsung mereka mengatakan mereka akan berjuang untuk orang Melayu, kerana hampir semua orang Melayu beragama Islam, tetapi dalam perjuangan politik PAS tidak pernah mereka mengatakan bahawa mereka menyasarkan atau cuba melindungi orang Melayu,” katanya kepada FMT.

Oh Ei Sun, dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, bersetuju. Beliau berkata PAS pada asasnya adalah parti berorientasikan agama dan bukan berpaksikan kaum.

Oh percaya percubaan Muhyiddin itu sebahagian daripada usaha untuk memulihkan relevansi politiknya, dalam parti dan gabungannya serta di arena nasional.

Beliau maklum Bersatu berjaya menarik segelintir pemimpin Cina dari parti lain sejak beberapa bulan lalu, namun beliau meragui sama ada langkah itu akan berjaya menarik sokongan masyarakat Cina.

Oh Ei Sun.

“Saya rasa Bersatu sedar ia tidak boleh menandingi PAS dalam menarik sokongan Melayu atau Umno dalam mengagihkan sumber kepada orang Melayu.

“Oleh itu, ia cuba melakukan sesuatu dengan menjadi parti yang diterima oleh orang bukan Melayu.

“Dalam politik, pertaruhan seperti itu perlu dilakukan dari semasa ke semasa apabila nasib politik kurang baik,” katanya.

Muhyiddin pada Ahad mengakui pernah kata “saya Melayu terlebih dahulu” pada 2010, tetapi mendakwa bahawa “itu tak penting lagi”.

Bekas perdana menteri itu berkata beliau tak pernah berfikir dirinya sebagai “Melayu sahaja”, menegaskan bahawa beliau “seorang Melayu prihatin dengan semua rakyat Malaysia”.

Pengumuman itu dikritik veteran DAP, Lim Kit Siang, yang mencabarnya untuk menunaikan kata-kata itu dengan mengepalai kempen menggesa rakyat mengutamakan kerakyataan sebelum etnik.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh menuduh Muhyiddin mengubah pendirian demi kuasa.

Bagaimanapun, Pengerusi Urimai P Ramasamy memuji peralihan Muhyiddin itu sebagai langkah yang tepat pada masanya, dan penting ke arah menjadikan PN sebuah gabungan yang boleh mewakili semua rakyat.

Ramasamy berkata ini boleh menjadikan PN sebagai alternatif yang inklusif untuk orang bukan Melayu menjelang PRU akan datang. Beliau bagaimanapun menggesa gabungan itu elak model Barisan Nasional yang mana parti-parti bukan Melayu dikatakan tunduk pada parti Melayu lalu menjadi lemah dari segi politik.

Azmi berkata BN berjaya selama tempoh 60 tahun kerana Umno, MCA dan MIC menjaga kepentingan masyarakat yang mereka wakili.

Sebaliknya, PKR bergelut untuk meletakkan dirinya sebagai parti berbilang kaum meskipun di atas kertas ia digambarkan sebagai sedemikian, dan memerlukan Amanah dan DAP untuk meningkatkan kedudukannya dalam kalangan pengundi Melayu dan Cina.

Azmi berkata PN mungkin boleh memanfaatkan model yang sama, dengan syarat itu memiliki rakan kongsi yang mampu meraih sokongan orang bukan Melayu. Masalah PN bagaimanapun tiada parti selain DAP yang mampu meraih sokongan sedemikian pada masa ini.

“Lupakan Gerakan. Mereka tak berjaya dalam pilihan raya sejak dua hingga tiga tahun lalu,” kata Azmi.

Oh juga menolak pandangan Ramasamy, dan berkata: “ia akan menjadi sama saja, iaitu ketuanan Melayu dan Islam serta bukan Melayu dan bukan Islam sebagai perhiasan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.