Nurul Izzah enggan layan persepsi ‘parti anak beranak’

Nurul Izzah enggan layan persepsi ‘parti anak beranak’

Nurul Izzah Anwar berkata walau apa gelaran dan persepsi dilemparkan selama puluhan tahun beliau tetap akan terus berkhidmat kepada parti.

nurul izzah
Nurul Izzah Anwar berkata serangan persepsi itu bukan baru malah sudah digunakan pihak lawan sejak 1998 untuk memperlekehkan perjuangannya. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Nurul Izzah Anwar menegaskan beliau tidak akan terkesan dengan persepsi ‘parti anak beranak’ selepas memutuskan bertanding jawatan nombor dua pada pemilihan PKR 23 Mei ini.

Dalam penjelasan panjang lebarnya, naib presiden PKR berkata serangan persepsi itu bukan baru, malah sudah digunakan pihak lawan sejak 1998 untuk memperlekehkan perjuangannya.

Malah, beliau percaya tetap akan digelar sedemikian sebaik melangkah ke gelanggang pemilihan kali ini, yang menyaksikan bapanya Anwar Ibrahim kemungkinan mempertahankan jawatan presiden selepas tiada pencabar setakat ini.

“Ketika saya menang naib presiden dengan undian tertinggi pada 2010, 2014 dan 2018, serangan yang sama tetap dilemparkan.

“Walau apa jua gelaran dan persepsi dilemparkan selama puluhan tahun, saya tetap akan terus berkhidmat kerana yakin proses bertanding secara terbuka lantas mendapat mandat daripada akar umbi bukanlah satu bentuk nepotisme,” katanya dalam kenyataan.

Nurul Izzah dilantik sebagai naib presiden PKR pada 2022 selepas tidak bertanding pada pemilihan Majlis Pimpinan Pusat tahun itu.

Terdahulu, beliau mengumumkan kesediaannya mencabar jawatan timbalan presiden PKR, yang kini disandang Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Semakan di laman web pemilihan PKR mengesahkan pencalonannya, menyaksikan persaingan antara dua pemimpin itu.

Ramai pemimpin tertinggi pusat dan bahagian menyatakan sokongan terhadap pencalonan Nurul Izzah untuk jawatan nombor dua parti, yang dimenangi Rafizi pada 2022 selepas menewaskan bekas setiausaha agung PKR Saifuddin Nasution Ismail.

Antara yang menyokong termasuk Naib Presiden Amirudin Shari, Ketua Wanita Fadhlina Sidek, Ketua Pemuda Adam Adli, dan Shamsul Iskandar Akin yang juga setiausaha politik kanan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Gelombang sokongan terhadap Nurul Izzah tercetus susulan tindakan Rafizi bercuti selepas pemilihan bahagian PKR, yang menyaksikan beberapa tokoh penting seiringnya kalah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.