Hajiji lulus kawal pemimpin berselisih tapi cabaran sebenar menanti, kata penganalisis

Hajiji lulus kawal pemimpin berselisih tapi cabaran sebenar menanti, kata penganalisis

Penganalisis jangka agihan kerusi akan 'sedikit berliku' jika GRS bekerjasama dengan pihak lain, seperti PH dan BN.

Karisma, komunikasi, kepercayaan dan agihan kerusi faktor yang menyumbang kepada kemampuan mengawal parti-parti komponen GRS. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Penganalisis memberikan status ‘lulus’ kepada Hajiji Noor kerana berjaya mengawal perselisihan antara pemimpin komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berhubung kedudukan parti masing-masing menjelang PRN.

Bilcher Bala dari Universiti Malaysia Sabah berkata kemampuan mengawal situasi tegang itu bergantung pada empat faktor antaranya karisma, komunikasi, dan kepercayaan.

“Membangun kepercayaan dan kesetiaan antara parti komponen adalah penting,” katanya kepada FMT.

“Hajiji perlu memastikan semua parti merasakan mereka adalah sebahagian daripada gabungan yang kuat dan bersatu, pada masa sama kepentingan bersama diutamakan.”

Faktor keempat iaitu agihan kerusi merupakan cabaran sebenar bagi pengerusi GRS itu, menurut Bilcher.

Ini kerana mengagihkan 73 kerusi dalam kalangan lapan parti komponen GRS mungkin ‘sedikit berliku’ jika wujud kerjasama dengan pihak lain, seperti Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), terutama membabitkan kerusi yang dipercayai mempunyai potensi menang — lebih-lebih lagi jika diduduki parti lain.

“Setiap parti mempunyai aspirasi dan tuntutan masing-masing, Hajiji perlu memastikan agihan secara adil dan strategik untuk mengelakkan ketidakpuasan hati yang boleh menggugat kesatuan gabungan,” katanya.

Kelmarin, susulan pertemuan khas selama hampir 3 jam, Hajiji mengumumkan semua presiden parti komponen GRS menyatakan komitmen penuh bagi memastikan kemenangan gabungan itu pada PRN akan datang.

Pengumuman itu terbit di sebalik perselisihan membabitkan beberapa presiden parti komponen baru-baru ini.

Isnin lalu, Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Jeffrey Kitingan dilaporkan berkata, gabungan itu mesti menambah baik cara ia beroperasi susulan dakwaan Presiden Parti Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno) Pandikar Amin Mulia yang partinya diperlekehkan apabila menuntut kerusi untuk ditandingi pada PRN.

Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Yong Teck Lee turut menegur sekutunya supaya tidak memperlekehkan Usno.

Seorang lagi penganalisis dari UMS, Romzi Ationg, percaya peselisihan itu hanya ‘permulaan’ masalah bagi GRS.

“Di dalam media sekarang muncul seolah-olah masalah itu selesai. Bagi saya itu hanya permulaan dan apa yang menjadi kebimbangan sekarang kalau tiba-tiba Hajiji terpaksa bekerjasama dengan parti tidak disukai pemimpin lain?” soalnya.

Beliau turut menjangkakan beberapa kerusi akan menjadi rebutan antara komponen GRS, termasuk DUN Bengkoka yang dimenangi BN pada PRN lalu dan DUN Bandau yang kini milik Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM).

“Kerusi dimenangi BN dan KDM ini dijangka panas kerana ada kemungkinan ketua bahagian (komponen GRS) yang tidak berpuas hati akan bertanding bebas,” katanya.

GRS dianggotai lapan parti iaitu Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Parti Bersatu Sabah (PBS), STAR, SAPP, Usno, Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) dan Parti Liberal Demokratik (LDP) dan terbaharu, Parti Cinta Sabah (PCS) yang diterima menyertai gabungan itu tahun lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.