
Seorang pemimpin kanan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata langkah itu “nampaknya telah melucutkan autonomi PH Sabah”.
Beliau berkata perkembangan ini menimbulkan kemarahan ramai pemimpin tempatan, yang menegaskan hala tuju parti peringkat negeri — dan, akhirnya, nasib politik Sabah — harus diputuskan oleh rakyat Sabah, bukan watak-watak di Kuala Lumpur.
Pemimpin GRS itu, yang kecewa dengan pengumuman bersama PH-BN itu, berkata menyerahkan proses membuat keputusan muktamad kepada kepimpinan persekutuan kedua-dua gabungan “tidak mempedulikan landskap politik Sabah yang unik”.
“Perenggan ketiga dalam kenyataan itu beritahu anda segala apa yang salah dengan cara KL melihat Sabah.
“Ia salah satu sebab mengapa rakyat Sabah berasa diketepikan kerana keputusan tentang negeri kita ditentukan oleh orang yang tidak tinggal di sini,” katanya kepada FMT.
Pemimpin GRS yang tidak dinamakan itu merujuk kepada kenyataan sekretariat kerajaan perpaduan pagi ini, yang berkata bentuk kerjasama termasuk soal pengagihan kerusi dan perundingan dengan mana-mana parti lain akan diperincikan bersama antara kepimpinan PH dan BN Sabah.
Bagaimanapun, kenyataan itu juga berkata “segala keputusan akan dimuktamadkan oleh kepimpinan tertinggi PH dan BN”.
Pada 2023, Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) Ewon Benedick seru PH Sabah dibenarkan mengekalkan autonomi bagi memastikan ia berada dalam kedudukan membuat keputusan demi kepentingan rakyat Sabah.
Pada November tahun lepas, Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook memberikan autonomi penuh kepada DAP Sabah untuk runding kerjasama dengan GRS untuk PRN, kerana ia lebih memahami dinamik dan persekitaran politik negeri itu.
PKR Sabah juga mengeluarkan kenyataan dua bulan lalu menegaskan bahawa ia mempunyai autonomi untuk menentukan rakan kerjasama politik untuk PRN.
Kebimbangan tentang hubungan BN-GRS
Dalam PH Sabah, sentimen nampaknya cenderung untuk memelihara pakatan dengan GRS.
Ketua Penerangan PKR Sabah Razeef Rakimin berkata PKR Sabah selesa bekerjasama dengan BN dan GRS, dan menambah perkara itu telah disampaikan kepada kepimpinan PH pusat sebelum pakatan dengan BN diumumkan.
“Kami beritahu pemimpin persekutuan bahawa kami tiada masalah bekerjasama dengan BN,” kata Razeef.
Bagaimanapun, beliau berkata terdapat kebimbangan mengenai hubungan antara BN dan GRS, yang berseteru sejak Umno Sabah menarik balik sokongannya kepada Ketua Menteri Hajiji Noor pada Januari 2023.
“Kami berharap kedua-dua pihak ini akan dapat selesaikan perselisihan mereka,” katanya.
Ketua Penerangan GRS Joniston Bangkuai berkata Hajiji jelas mahu memelihara pakatan dengan PH, begitu juga sekumpulan pemimpin Umno Sabah yang mengingkari arahan parti untuk menarik balik sokongan.
“Mengapa ganggu aturan yang berfungsi dengan baik, terutama apabila rizab negeri kita berkembang dari tahun ke tahun?” kata Joniston.
Rizab Sabah meningkat daripada RM5.4 bilion pada 2022 kepada lebih RM7 bilion pada tahun berikutnya.