
Tertuduh, Koh Kian Hwee, 57, dan Kua Hsean Soon, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Hamidah Mohamed Deril, menurut Sinar Harian.
Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama melakukan pecah amanah, membabitkan barangan mentah bernilai RM2,974,383.33 yang diamanahkan syarikat terbabit di Jalan Genting Kelang, Setapak, antara 25 Jun hingga 16 Okt 2024.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman penjara antara satu hingga 14 tahun, sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Shakila Mohd Shariff yang mengendalikan pendakwaan tidak mencadangkan jaminan kepada kedua-dua tertuduh.
Bagaimanapun, peguam mereka, Carmen Eu Kah Mun memohon mahkamah membenarkan ikat jamin dengan jumlah yang minimum.
“Saya tidak membantah sekiranya anak guam dikenakan syarat tambahan,” katanya.
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Hamidah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin.
Beliau turut mengarahkan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah dan menetapkan sebutan kes pada 11 Jun.