Yuran guaman RM12.5 juta kepada Bersatu tak keterlaluan, kata peguam

Yuran guaman RM12.5 juta kepada Bersatu tak keterlaluan, kata peguam

Haniff Khatri Abdulla beritahu mahkamah itu caj untuk perkhidmatannya sejak Bersatu dalam proses penubuhan lagi.

Haniff Khatri
Peguam Haniff Khatri Abdulla menuntut yuran guaman dari Bersatu berjumlah RM12.5 juta tetapi parti itu mendakwa bayaran tersebut terlalu mahal.
KUALA LUMPUR:
Seorang peguam menafikan bahawa bil berjumlah RM12.5 juta yang dikeluarkan kepada Bersatu bagi perkhidmatan guaman yang diberikan kepada parti itu adalah terlampau mahal dan keterlaluan.

Haniff Khatri Abdulla memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa beliau telah mewakili Bersatu sejak 2016, ketika parti itu dalam proses penubuhan.

“Saya terlibat dalam banyak perkara, daripada memberi nasihat sehinggalah menyemak calon (pilihan raya). Malah, arahan (daripada pimpinan parti) datang dari semasa ke semasa dan bukan secara bertulis.

“Akhirnya, Bersatu berjaya (di bawah gabungan Pakatan Harapan) dalam PRU 2018,” katanya yang menjawab bantahan Bersatu terhadap jumlah yang dicaj itu.

Haniff memfailkan saman pada 2021 untuk menuntut bayaran guaman RM12.5 juta daripada Bersatu bagi perkhidmatan yang telah diberikan.

Katanya, sebelum memfailkan saman, beliau telah mengeluarkan invois kepada parti itu namun tidak menerima sebarang maklum balas.

Dalam pembelaannya, Bersatu mendakwa Haniff memberikan khidmat guaman secara ‘pro bono’ dari 2016 hingga 2020.

Haniff turut memberitahu mahkamah bahawa beliau bukan berniat untuk ‘menghukum’ Bersatu dengan mengemukakan bil yang tinggi selepas Langkah Sheraton, sebaliknya hanya menuntut bayaran atas kerja dilakukannya untuk parti itu.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan hasrat untuk menjauhkan diri daripada parti itu.

“Bagi saya, (melalui) Langkah Sheraton itu, Bersatu mengkhianati mandat rakyat dan saya tidak mahu lagi dikaitkan dengan mereka.”

Saya tak pernah minta Haniff caj, peguam beritahu mahkamah

Sementara itu, seorang lagi peguam, Rosli Dahlan turut memberi keterangan hari ini sebagai saksi pihak defendan: Bersatu, presidennya Muhyiddin Yassin, dan bendaharinya Salleh Bajuri.

Beliau menafikan ada bertanya sama ada Haniff bercadang untuk mengenakan bayaran guaman kepada Bersatu selepas PRU 2018.

“Saya tidak ingat ada panggilan telefon seperti itu,” kata Rosli.

Tambahnya, Bersatu (ketika itu) adalah sebuah parti baharu yang ‘tidak mempunyai dana untuk membayar sesiapa’.

“Perkhidmatan yang diberikan kepada parti (oleh peguam) adalah secara sukarela tanpa sebarang jangkaan untuk dibayar,” katanya.

Ketika ditanya oleh peguam Haniff, Nizamuddin Hamid, sama ada pernah melihat invois Haniff, Rosli berkata dia pernah melihatnya.

Bagaimanapun, Rosli berkata beliau tidak ingat melihat draf disediakan Haniff berkaitan permohonan semakan kehakiman oleh parti itu pada 2018.

“Jika ada draf (daripada Haniff) saya tidak akan gunakannya kerana kami mempunyai pendekatan yang berbeza (dalam mengendalikan kes),” kata Rosli.

Rosli berkata beliau tidak mengenakan sebarang caj kepada Bersatu atau Muhyiddin atas perkhidmatan yang diberikannya semasa mewakili parti itu dalam satu kes pada 2018.

“Pada masa itu, beliau (Muhyiddin) dipecat (daripada Umno) dan negara dalam keadaan kucar-kacir. Saya mahu lakukan sesuatu demi keadilan,” katanya.

Perbicaraan bersambung di hadapan Hakim Akhtar Tahir pada Jumaat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.