Warga emas ditahan pecah pintu kaca bangunan MPTI

Warga emas ditahan pecah pintu kaca bangunan MPTI

Seorang lelaki dipercayai tidak puas hati khemah sempena perayaan dipasang di depan kedai jamnya, halang pandangan pelanggan.

cermin mpti pecah
Video tular di media sosial memaparkan seorang lelaki bertindak agresif memecahkan pintu kaca di bangunan MPTI.
PETALING JAYA:
Seorang warga emas ditahan selepas dipercayai bertindak agresif memecahkan pintu kaca utama bangunan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) pagi tadi.

Ketua Polis Hilir Perak Bakri Zainal Abidin berkata, polis menerima laporan pada 10.35 pagi berhubung kejadian seorang lelaki mengamuk dan merosakkan harta benda awam di bangunan terbabit.

Katanya, lelaki berusia 63 tahun itu datang ke bangunan MPTI menaiki motosikal dan meletakkan kenderaannya di hadapan bangunan sebelum bertindak memecahkan kedua-dua pintu kaca utama bangunan itu menggunakan tukul besi yang dibawanya.

“Lelaki itu kemudian cuba meninggalkan bangunan berkenaan menuju ke kedainya di Jalan Bandar, Teluk Intan, namun sempat ditahan untuk diserahkan pada pihak polis,” katanya, lapor Bernama.

Bakri berkata, lelaki itu memaklumkan dia tidak puas hati dengan tindakan MPTI memasang khemah di depan kedai jamnya semasa sambutan sebuah perayaan, menghalang pandangan pelanggan.

Lelaki itu mendakwa dia telah mengadu kepada MPTI dan polis beberapa kali sebelum ini, namun tiada tindakan diambil.

“Lelaki itu kini ditahan di lokap Balai Polis Teluk Intan dan permohonan reman terhadapnya akan dibuat esok di Mahkamah Majistret Teluk Intan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” kata Bakri.

Terdahulu, tular di media sosial video berdurasi 1 minit 30 saat memaparkan seorang lelaki menunggang motosikal dan bertindak agresif memecahkan pintu kaca di bangunan MPTI.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.