
Wan Hasifi berkata, trend minat politik dalam kalangan anak muda yang semakin merosot perlu ditangani segera, dengan pendekatan lebih segar.
“Politik bukan sekadar kuasa. Ia tentang menyelesaikan masalah rakyat. Sebagai teknokrat, saya percaya data, sistem dan teknologi boleh digerakkan untuk menjadikan politik lebih efisien, berintegriti dan mesra rakyat,” katanya dalam kenyataan.
Usahawan teknologi yang pernah disenaraikan dalam ‘Forbes 30 Under 30 Asia’ pada 2020 itu berkata, beliau komited menggabungkan pengalaman profesional dengan semangat perubahan, menerusi semangat reformasi.
Antara agenda utama ingin diperkenalkan Wan Hasifi menerusi kempennya adalah pelaksanaan aplikasi Community Group Buying (CGB) – platform pembelian kolektif barangan asas yang dijangka mampu mengurangkan perbelanjaan isi rumah hingga 15% sebulan.
“Saya mahu pastikan idea yang saya bawa bukan sekadar retorik, tetapi diuji secara langsung di peringkat akar umbi bermula di Subang,” tegasnya.
Wan Hasifi turut menganggarkan potensi penjimatan tahunan mencecah RM1.2 bilion jika ia diperluaskan kepada 500,000 ahli di seluruh negara.
Graduan perubatan dari Rusia itu juga bercadang memperluaskan jaringan Kelab Mahasiswa PKR sehingga ke luar negara sebagai langkah melahirkan barisan pelapis kepimpinan masa depan.
“Dengan semangat itu di samping rasa tanggungjawab untuk membantu membangunkan negara bersama kumpulan pemimpin muda dengan idea-idea segar, diyakini membawa perubahan dalam landskap politik negara,” katanya.