Tarik pukat tarikan baharu pelancongan Kelantan

Tarik pukat tarikan baharu pelancongan Kelantan

Memukat di pantai diyakini mampu tarik minat pelancong susulan kejayaan meluncur ombak yang berjaya tarik lebih 3,000 pengunjung.

pantai kemasin
Kelantan perkenal kaedah tradisional nelayan dahulu dan beri peluang kepada pengunjung untuk nikmati pengalaman tarik pukat beramai-ramai. (Gambar Bernama)
KOTA BHARU:
Kelantan akan memperkenalkan aktiviti memukat di pantai menggunakan pukat tarik sebagai satu daripada produk pelancongan baharu tahun ini.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Kamarudin Md Nor berkata aktiviti berkenaan memperkenalkan semula kaedah tradisional nelayan dahulu, dan beri peluang kepada pengunjung menikmati pengalaman menarik pukat beramai-ramai.

“Sekarang orang sudah tidak guna pukat tarik, jadi kita mahu hidupkan kembali aktiviti ini sebagai riadah yang mencipta suasana rehat minda serta mengeratkan hubungan antara rakan dan ahli keluarga. Aktiviti ini memerlukan kerjasama 20 hingga 30 orang bagi menarik pukat untuk mengepung ikan di pantai,” katanya selepas merasmikan Matta Fair Kelantan 2025.

Kamarudin berkata kaedah memukat itu boleh meliputi kawasan hingga 1km dan diyakini mampu menarik minat pelancong kerana mereka juga boleh terlibat secara langsung.

Beliau berkata kerajaan negeri turut melancarkan Kempen Indahnya Kelantan 2025 dengan menyenaraikan 41 aktiviti utama dalam kalendar pelancongan tahun ini meliputi budaya, kesenian, warisan, sukan, ekopelancongan dan pelancongan komuniti.

Kamarudin berkata meluncur ombak yang diperkenalkan di Pantai Kemasin, Bachok pada musim tengkujuh lepas berjaya menarik lebih 3,000 pengunjung dan beliau yakin aktiviti lain juga bakal menerima sambutan positif.

Matta Fair Kelantan yang berlangsung selama tiga hari menyasarkan jualan sebanyak RM5 juta dengan kehadiran kira-kira 5,000 pengunjung dan fokus utama kali ini adalah promosi pulau-pulau dan produk ekopelancongan.

Sementara itu, Kamarudin berkata Jabatan Warisan Negara (JWN) sedang menunggu kelulusan peruntukan daripada Kementerian Kewangan bagi memulakan kerja baik pulih Jambatan Gantung Sultan Ismail di Kuala Krai yang semakin uzur.

Beliau berkata sebelum ini JWN tidak dapat gambaran penuh mengenai tahap kerosakan jambatan itu, namun kini pihak berkenaan telah menilai keadaan secara menyeluruh dan memohon peruntukan secukupnya untuk kerja pemulihan.

Kamarudin berharap proses baik pulih dapat dimulakan segera memandangkan isu berkenaan telah lama dibangkitkan, termasuk pada persidangan DUN.

Bernama sebelum ini melaporkan JWN mendapati struktur jambatan berusia lebih 100 tahun itu sudah condong dan berisiko runtuh dan dianggarkan RM3 juta diperlukan bagi membaik pulih jambatan itu, yang diiktiraf sebagai warisan negara dan khazanah penting Kelantan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.