Polis tahan pasangan kekasih, dadah dianggar RM4.6 juta dirampas

Polis tahan pasangan kekasih, dadah dianggar RM4.6 juta dirampas

Pasangan dengan salah seorangnya warga Vietnam itu ditahan di Sitiawan.

Ketua Polis Perak Noor Hisam Nordin berkata kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan semua suspek direman tujuh hari hingga Isnin depan.
PETALING JAYA:
Polis berjaya melakukan rampasan dadah dianggarkan bernilai RM4.6 juta dalam tiga serbuan di sekitar Manjung, Perak susulan penahanan sepasang kekasih melibatkan warga Vietnam.

Ketua Polis Perak, Noor Hisam Nordin, berkata pasangan berusia 28 dan 24 tahun itu ditahan di sebuah rumah di kawasan Simpang Tiga, Sitiawan kira-kira 7.30 malam, Isnin lalu.

Katanya, serbuan menemukan dadah serbuk jenis MDMA seberat 15.3 kg dan 0.23kg dadah jenis sama di sebuah motosikal yang berada depan rumah berkenaan.

“Polis kemudiannya menjalankan serbuan kedua di sebuah pangsapuri di Taman Sejati, Sitiawan.

“Pada 8.55 malam hari sama, kita berjaya menahan seorang lelaki berumur 50 tahun serta merampas serbuk ketamin dan pil Eramin 5 masing-masing seberat 0.11 gram (g) dan 13g,” katanya dalam sidang media di IPK Perak hari ini, menurut Harian Metro.

Tambahnya lagi, serbuan ketiga pula dilakukan pada 7.19 pagi, 6 Mei lalu di sebuah rumah di Desa Manjung Raya yang dipercayai digunakan sebagai tempat pembungkusan dan stor penyimpanan dadah dengan dipandu arah ketiga-tiga suspek.

Katanya, polis kemudian menemukan dan merampas 11.4kg dadah jenis MDMA dan 299g ketamin yang kedua-duanya dalam bentuk serbuk, selain turut merampas peralatan digunakan bagi membungkus dadah serta wang tunai RM970.

“Jumlah keseluruhan rampasan dadah bagi kes ini adalah 27kg serbuk dadah MDMA; 413g serbuk dadah ketamin; dan 50 biji atau 13g pil Eramin 5, dengan nilai keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan RM4,595,272.

“Siasatan mendapati sindiket itu mula aktif mengedar dadah sejak Mac 2025 untuk kawasan tempatan dengan jumlah dadah yang dirampas boleh menampung permintaan 90,516 penagih.

“Ujian saringan awal air kencing terhadap ketiga-tiga suspek mendapati mereka positif dadah jenis Benzodiazepine @ Erimin 5 dan mempunyai rekod kesalahan lampau kes jenayah serta dadah,” katanya.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan semua suspek direman tujuh hari hingga Isnin depan untuk siasatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.