Peningkatan kos di sebalik tarif AS boleh jejas ramai PKS, kata kumpulan

Peningkatan kos di sebalik tarif AS boleh jejas ramai PKS, kata kumpulan

Samenta gesa kerajaan supaya tidak teruskan langkah yang boleh sebabkan kenaikan kos, termasuk peluasan SST pada 1 Jun.

Samenta kata peningkatan kos walaupun sedikit boleh sebabkan banyak PKS terjejas.
PETALING JAYA:
Kumpulan pengusaha menggesa kerajaan supaya tidak meneruskan sebarang langkah yang boleh menyebabkan kenaikan kos bagi perusahaan kecil dan sederhana, di sebalik impak tarif timbal balas Amerika Syarikat.

Ini termasuk peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), kata Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta).

“Dalam situasi semasa, peningkatan kos walaupun sedikit boleh menyebabkan banyak PKS terjejas dan mungkin gulung tikar,” kata Presiden William Ng.

“Kami juga menyeru agar kerajaan melaksanakan pembekuan sementara terhadap sebarang keperluan pelesenan dan pematuhan baharu yang menambah beban kepada PKS yang sudah pun dalam tekanan.”

Sebelum ini, Persekutuan Pekilang Malaysia turut menggesa kerajaan terus menangguhkan pelaksanaan peluasan SST melangkaui 1 Jun berikutan impak terhadap perniagaan serta pengguna.

Menurut Presiden Soh Thian Lai, keadaan sekarang tidak kondusif bagi melaksanakan langkah itu berikutan tekanan luaran yang sedang dialami oleh pengilang, termasuk pelaksanaan tarif timbal balas AS, selain semakan semula tarif asas tenaga pada Julai 2025.

Pada 9 Apr lalu, Presiden AS Donald Trump mengumumkan tarif asas 10% dikenakan selama 90 hari ke atas lebih 75 negara, termasuk Malaysia, di sebalik penangguhan tarif timbal balik susulan rundingan.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata potensi impak tidak dapat dinilai setakat ini susulan penangguhan tarif timbal balas 24% yang dikenakan ke atas kebanyakan barangan Malaysia, namun kerajaan peruntuk RM1 bilion bawah skim jaminan pembiayaan perniagaan khusus untuk membantu pengeksport PKS yang terjejas.

Kerajaan juga setuju menambah dana pembiayaan mudah sebanyak RM500 juta melalui institusi pembangunan kewangan bagi manfaat usahawan PKS, sebagai langkah permulaan.

Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia berharap kerajaan boleh mempercepatkan proses memberi peruntukan RM1 bilion itu.

Presiden Chin Chee Seong berpandangan pengeksport PKS tidak terkesan terlalu banyak masa ini, namun dana itu sangat membantu kepada mereka yang terkesan.

“Kita menyambut baik usaha kerajaan itu. Namun apa lagi penting adalah perlu percepatkan proses untuk pemberian dana tersebut,” katanya.

Samenta pula menarik perhatian kepada kekurangan tenaga kerja, menyifatkan ia sebagai isu kritikal terutama dalam sektor perkhidmatan.

Ia berharap kerajaan mempertimbangkan pelonggaran sekatan ke atas pengambilan pekerja asing, khususnya dalam sektor makanan dan minuman, pelancongan, dan logistik.

“Sektor yang masih bergelut mendapatkan tenaga kerja tempatan dan beroperasi di bawah kapasiti optimum,” kata William.

“Kelangsungan PKS dalam sektor ini bergantung bukan sahaja kepada akses pembiayaan, tetapi juga kepada bekalan tenaga kerja yang stabil dan mencukupi.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.