Peguam Najib tuntut ketelusan permintaan ekstradisi Tim Leissner

Peguam Najib tuntut ketelusan permintaan ekstradisi Tim Leissner

Shafee & Co berkata kegagalan mendedahkan permintaan ekstradisi terhadap bekas rakan kongsi Goldman Sachs itu mungkin telah menjejaskan pembelaan Najib Razak dalam perbicaraan 1MDB.

shafee abdullah
Shafee Abdullah berkata Najib Razak kekal komited untuk bekerjasama membawa Tim Leissner ke Malaysia untuk dibicarakan.
PETALING JAYA:
Peguam kepada Najib Razak menyuarakan kebimbangan terhadap kegagalan kerajaan mendedahkan permintaan ekstradisi yang didakwa telah dibuat terhadap bekas rakan kongsi Goldman Sachs, Tim Leissner.

Firma guaman Shafee & Co turut mendakwa pengabaian ini boleh memberi kesan besar kepada pembelaan anak guam mereka dalam perbicaraan 1MDB.

Mereka turut menyifatkan perkara itu sebagai ‘menggusarkan’ kerana permintaan terbabit dibuat sembilan bulan lalu tetapi tidak dimaklumkan kepada mahkamah, pembelaan atau umum sehingga kes Najib selesai.

“Keputusan berdiam diri ini menimbulkan persoalan besar kerana maklumat tersebut mungkin penting untuk pembelaan.

“Terutamanya jika dapat mendedahkan nama-nama pegawai menerima sogokan daripada Leissner, yang jelas boleh membantu membuktikan Najib tidak bersalah,” katanya dalam kenyataan.

Wall Street Journal semalam melaporkan Putrajaya telah menyerahkan permintaan ekstradisi kepada Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat pada Ogos tahun lalu.

Satu notis merah Interpol kemudiannya dikeluarkan pada November, yang meletakkan Leissner dalam keadaan berjaga-jaga untuk ditangkap di hampir mana-mana negara.

Sumber turut memaklumkan bahawa pihak berkuasa Malaysia sedang berusaha mempercepatkan ekstradisi beliau sebelum dia kembali ke negara asalnya, Jerman, di mana beliau mungkin dapat mengelak daripada pendakwaan.

Menurut peguamnya, Najib sendiri pada tahun 2023 telah memfailkan penemuan maklumat di Mahkamah Daerah Selatan New York, Amerika Syarikat (AS) untuk mengenal pasti pegawai terlibat dalam rasuah namun tertangguh dikhuatiri menjejaskan perbicaraan rakan sejawatan Leissner, Roger Ng.

Ng, yang telah disabitkan kesalahan di AS dan dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun, kini berada di Malaysia membantu siasatan pihak berkuasa tempatan.

Firma guaman itu berkata Najib kemudian cuba membuka semula kes pada Februari 2025, namun usahanya ditolak oleh seorang hakim di AS yang menyatakan kebimbangan mengenai hak perlembagaan Leissner.

Sehubungan itu, peguam Najib menggesa Jabatan Peguam Negara dan kerajaan lebih telus serta benar-benar komited dalam usaha mengekstradisi Leissner.

“Najib kekal komited untuk bekerjasama dengan mana-mana usaha membawa Leissner ke Malaysia untuk dibicarakan dan mendedahkan kebenaran kepada rakyat Malaysia.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.