PAS nafi main kayu tiga, hubungan dengan Bersatu utuh, kata Tuan Ibrahim

PAS nafi main kayu tiga, hubungan dengan Bersatu utuh, kata Tuan Ibrahim

Tuan Ibrahim Tuan Man berkata kerangka kerjasama dengan Umno dinyatakan Hamzah Zainudin merujuk penyatuan ummah, bukan gabung parti.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Tuan Ibrahim Tuan Man berkata kerjasama erat dengan Bersatu dibuktikan apabila jenteranya bantu calon PAS pada PRK Ayer Kuning.
PETALING JAYA:
PAS menafikan dakwaan wujud keretakan hubungan dalam Perikatan Nasional (PN), merujuk kenyataan Presiden Umno Zahid Hamidi yang Bersatu kini menyedari telah terperangkap dalam ‘permainan kayu tiga’ rakan sekutunya.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata PN ditunjangi Bersatu, PAS, Gerakan dan MIPP kekal utuh dan fokus dalam mempersiapkan jenteranya menghadapi PRU16.

Katanya, kerjasama erat itu juga dapat dilihat apabila jentera Bersatu agresif turun padang membantu calon PAS dalam beberapa pilihan raya kecil termasuk di Ayer Kuning pada 26 April lalu.

“Kita buktikan kerjasama bukan sekadar retorik. Mesyuarat PN berjalan seperti biasa, jentera kita bergabung tenaga. Jadi kenyataan yang cuba mencetuskan persepsi kononnya ada ketegangan adalah tidak bertanggungjawab.

“Tidak timbul hubungan renggang atau Bersatu bermain kayu tiga. Kerangka diungkapkan Hamzah adalah kerangka besar penyatuan ummah, bukan penggabungan parti,” katanya kepada FMT.

Awal bulan ini, Timbalan Presiden Bersatu Hamzah Zainudin menerusi program audio siar dengan bekas menteri Zaid Ibrahim dilaporkan berkata partinya terbuka bekerjasama dengan Umno kerana mereka berkongsi asas ideologi sama.

Seruan sama juga diulangi Hamzah pada kempen PRK DUN Ayer Kuning, bulan lalu yang menyaksikan Umno mengekalkan penguasaannya dengan majoriti lebih besar, walaupun kadar keluar mengundi kurang 60%.

Hari ini, Zahid mendakwa kenyataan Hamzah itu mungkin selepas menyedari telah terperangkap dalam permainan kayu tiga rakan kongsinya, tanpa menyebut mana-mana parti.

FMT memetik kenyataan penganalisis melaporkan Bersatu kini sedang ‘meninjau-ninjau’ sekutu politik menjelang PRU16, memandangkan wujud isyarat pemimpin parti semakin tidak senang duduk dalam gabungan PN yang diasaskannya bersama.

Mengulas laporan itu, Tuan Ibrahim menegaskan PN tetap komited terhadap gagasan memperkukuhkan muafakat politik Melayu-Islam sebagai keutamaan jangka panjang.

“Kenyataan agar parti Melayu-Islam memperkukuhkan muafakat politik adalah gagasan penting yang terus dibawa oleh PN. Ia tidak wajar dilihat sebagai tanda perpecahan.

“Sebaliknya sebagai langkah memperluas agenda penyatuan ummah untuk keperluan jangka panjang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.