
Petanda paling jelas dilihat baru-baru ini apabila Timbalan Presiden Bersatu Hamzah Zainudin, memberikan bayangan kemungkinan membaiki hubungan dengan seteru khususnya Umno.
Penganalisis berkata, langkah itu didorong oleh keperluan.
“Dapat dirasakan Bersatu benar-benar gelisah tentang jangka hayat perkongsiannya dengan PAS,” kata Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
“Kini lebih jelas Bersatu sedang pertimbang pelbagai pilihan kerana sedar momentum PN semakin lemah,” katanya kepada FMT.
Bersatu dan PAS sudah lama menggambarkan mereka sebagai barisan bersatu dalam mempertahankan kepentingan Melayu-Islam. Namun kini, keretakan di sebaliknya mula terserlah.
PAS menggenggam sokongan akar umbi yang kuat dan mempunyai pengaruh agama kukuh dalam kalangan orang Melayu, manakala Bersatu – yang terbentuk oleh serpihan Umno – berdepan kesukaran membuktikan kewibawaan politiknya.
Parti berasaskan Islam itu turut mengelak daripada menamakan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sebagai calon perdana menteri bagi pakatan pembangkang, mencadangkan ia mungkin memilih antara tokohnya sendiri memandangkan parti itu membentuk blok terbesar dalam PN dengan 43 kerusi Parlimen.
Bulan lalu, Hamzah turut mengakui kebimbangan bahawa PAS kini beroperasi lebih bebas dalam PN, menerajui kerajaan Perlis, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Menurut Syaza, ketidakseimbangan itu menyemarakkan ketegangan di belakang tabir.
“Memang ada sedikit sebanyak ketegangan. Walaupun (kedua-dua pihak mendakwa) perjuangan mereka atas nama Islam dan perpaduan Melayu, kaedah mereka berbeza.
“(Tindakan) Bersatu menjauhkan diri daripada PAS kini lebih mudah dibayangkan berbanding sebelum ini,” katanya.
Umno mungkin pilih bersama PH
Penyatuan semula Umno dan Bersatu mungkin tidak berlaku sebegitu mudah.
“Umno mungkin lebih terbuka mengalu-alukan ahli Bersatu kembali secara individu, berbanding berunding dengan Bersatu sebagai sebuah parti.
“Tetapi ini politik Malaysia. Sedangkan Umno dan DAP boleh duduk semeja, apatah lagi Umno dengan Bersatu,” kata Syaza.
Namun, parut lama masih terasa. Penyerpihan Bersatu daripada Umno selepas PRU 2018 dan peranannya dalam kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 2020 kekal menjadi duri dalam daging bagi ramai penyokong setia Umno, kata Azmi Hassan, felo kanan di Akademi Nusantara.
Atas sebab itu, katanya, Umno mungkin cenderung memilih bekerjasama dengan PH.
“Rundingan kerusi lebih mudah diurus dengan PH kerana kurang pertindihan,” katanya.

“Dengan Bersatu, terdapat pertindihan yang besar kerana kira-kira 80% kerusi mereka menyasarkan kawasan majoriti Melayu yang sama, dan itu suatu kekusutan strategik.”
Kenyataan Hamzah baru-baru ini dalam episod audio siar bersama bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim, yang memberikan bayangan Umno dan Bersatu mungkin mewujudkan pakatan berdasarkan ideologi bersama, mencetuskan semula spekulasi.
Bagaimanapun, Hisomuddin Bakar daripada Ilham Centre segera memberi peringatan agar kenyataan Hamzah itu tidak ditafsir dengan terlalu mendalam.
“Komen Hamzah mencerminkan pandangan peribadinya, bukan dasar parti. Beliau juga secara tidak langsung menuding jari kepada Presiden Umno Zahid Hamidi sebagai batu penghalang utama,” katanya kepada FMT.
Ketegangan itu dapat dilihat pada PRK Ayer Kuning, apabila Hamzah mencadangkan PN membentuk kerajaan negeri Perak bersama Umno-BN jika menang. Idea itu kemudian disangkal Zahid, mengukuhkan pendirian parti itu menolak sebarang penyatuan rasmi dengan Bersatu.
Syaza berkata, langkah Bersatu masih mempertimbangkan pilihan mempunyai kelebihan dan kekurangannya.
“Dari satu segi, ia menunjukkan fleksibiliti. Namun, ia memberi gambaran (parti itu) tiada hala tuju yang jelas.”