Kematian merpati di Ipoh bukan akibat penyakit berjangkit

Kematian merpati di Ipoh bukan akibat penyakit berjangkit

Jabatan Perkhidmatan Veterinar berkata ujian keracunan sedang dijalankan Jabatan Kimia untuk mengenal pasti punca sebenar kematian sejumlah besar merpati itu.

pigeon merpati
Jabatan Perkhidmatan Veterinar menerima aduan Majlis Bandaraya Ipoh berhubung penemuan sejumlah besar bangkai merpati di sekitar kawasan pancuran air di Padang Ipoh Ahad lalu. (Gambar Facebook)
PUTRAJAYA:
Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) mengesahkan tiada penyakit berjangkit dikesan atau kematian baharu dilaporkan susulan penemuan sejumlah besar bangkai merpati di sekitar kawasan pancuran air di Padang Ipoh, Perak, baru-baru ini.

Menurutnya, keputusan awal ujian ke atas tiga bangkai merpati itu bagi penyakit berjangkit Avian Influenza (AI), Newcastle Disease (ND) dan Adenovirus negatif dan bukan faktor penyebab kematian haiwan tersebut.

“Bedah siasat mendapati merpati itu mempunyai kandungan perut penuh, dengan beberapa penemuan signifikan termasuk perubahan warna pada hati, kehadiran darah beku dalam rongga toraks serta pendarahan pada trakea dan paru-paru.

“Sampel organ dalaman seperti hati, jantung, buah pinggang, limpa, paru-paru, usus dan trakea telah dihantar untuk analisis makmal. Pada masa ini, ujian keracunan sedang dijalankan Jabatan Kimia untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian,” katanya dalam kenyataan.

DVS memaklumkan kesimpulan akhir kematian burung itu hanya dapat dibuat selepas mendapat keputusan ujian keracunan daripada Jabatan Kimia.

“Sebagai langkah berjaga-jaga dan untuk melindungi keselamatan awam serta sektor penternakan negara daripada risiko penyakit bawaan haiwan, DVS akan terus menjalankan pemantauan terhadap situasi semasa di Padang Ipoh.”

Jabatan itu meminta orang ramai melaporkan segera penemuan bangkai burung atau haiwan lain yang kelihatan luar biasa atau mencurigakan kepada DVS berhampiran atau menghubungi talian 03-88702041.

Sebelum ini, klip video penemuan sejumlah besar bangkai merpati di sekitar kawasan pancuran air itu tular di media sosial.

DVS mengesahkan pihaknya menerima aduan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) Ahad lalu, dengan DVS Perak melawat tapak kejadian dan melakukan siasatan pada hari sama.

“Pemerhatian awal mendapati ada banyak bangkai merpati di kawasan berkenaan, namun burung lain di lokasi sama kelihatan sihat dan normal.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.