
Nik Nazmi berkata, sebarang pencalonan perlu dibuat secara tertib dan mengambil kira kepentingan keseluruhan parti termasuk presiden serta sesiapa yang dinamakan.
“Kita perlu fikir secara menyeluruh. Jangan sampai ada pihak yang terlalu ghairah kerana mahu menentang sesuatu kumpulan, lalu melakukan sesuatu yang akhirnya memberi implikasi tidak baik kepada imej parti,” katanya menurut Sinar Harian.
Persaingan kepimpinan parti semakin panas menjelang penamaan calon hari ini, dengan Rafizi Ramli menyatakan hasrat mempertahankan jawatan timbalan presiden dan mungkin dicabar Nurul Izzah Anwar – anak kepada Presiden PKR dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Setakat ini, sebahagian besar bahagian PKR di Selangor, Perak, Pahang, Johor, Kedah, Melaka dan Sabah menyatakan sokongan kepada Izzah.
Selain itu, pimpinan utama sayap Wanita dan Pemuda PKR turut menyatakan sokongan terhadapnya.
Izzah dalam kenyataan semalam berkata beliau akan membuat keputusan terbaik berhubung cadangan akar umbi untuknya bertanding jawatan timbalan presiden pada pemilihan 23 Mei ini.
Bekas setiausaha agung PKR Saifuddin Nasution Ismail juga disebut bakal bertanding jawatan itu namun beliau sehingga kini belum membuat keputusan.
Mengulas sokongan diterima Izzah, Nik Nazmi yang juga menteri sumber asli dan kelestarian alam berkata kewibawaan dan pengalaman bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu tidak dapat dipertikaikan, namun sebarang pencalonan perlu dibuat secara tertib.
“Saya ingat dari segi kewibawaan dan kebolehan Nurul Izzah, tidak ada siapa boleh mempertikaikan. Perjuangan yang beliau lalui selama ini jelas membuktikan keteguhan prinsip beliau,” katanya.
Nik Nazmi berkata, PKR sendiri mempunyai rekod panjang dalam memperjuangkan kepimpinan wanita termasuk pernah melahirkan ketua pembangkang dan timbalan perdana menteri wanita pertama.
“Saya rasa bebas untuk sesiapa menyokong Rafizi, Saifuddin atau Nurul Izzah untuk jawatan timbalan presiden (kerana) itu adalah hak masing-masing,” katanya.