Untung bersih SD Guthrie naik lebih 2 kali ganda suku pertama 2025

Untung bersih SD Guthrie naik lebih 2 kali ganda suku pertama 2025

Prestasi kukuh itu dipacu segmen huluan syarikat terutama peningkatan hasil pengeluaran dan harga minyak sawit mentah dan isirong sawit.

SD Guthrie Berhad catat keuntungan RM567 juta bagi suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Dis 2025 berbanding RM211 juta tempoh sama tahun lalu. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
SD Guthrie Berhad mencatatkan lonjakan keuntungan bersih lebih dua kali ganda kepada RM567 juta bagi suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Dis 2025 (1Q FY2025), berbanding RM211 juta dicatatkan tempoh sama tahun lalu.

Prestasi kukuh itu dipacu oleh segmen huluan syarikat terutama peningkatan hasil pengeluaran dan harga minyak sawit mentah (MSM) dan isirong sawit (PK).

Keuntungan sebelum faedah dan cukai (PBIT) turut melonjak 118% tahun ke tahun kepada RM818 juta, walaupun prestasi segmen hiliran mencatatkan penyusutan.

Harga purata MSM meningkat 18% kepada RM4,576 setiap tan metrik (MT), manakala PK naik 72% kepada RM3,342/MT. Pengeluaran buah tandan segar (BTS) meningkat sedikit kepada 2.01 juta MT, dengan peningkatan ketara di Indonesia dan Papua New Guinea mengimbangi penurunan di Malaysia.

Sementara itu, SD Guthrie International (SDGI), cabang hiliran syarikat, merekodkan penurunan PBIT sebanyak 37% kepada RM76 juta, disebabkan margin lebih rendah dan permintaan pasaran yang menurun di Eropah. Namun, prestasi di Asia Pasifik menunjukkan peningkatan.

Pengerusi SD Guthrie, Nik Norzrul Thani, berkata syarikat kekal berwaspada dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global dan cabaran geopolitik.

“Saya percaya SD Guthrie mempunyai daya tahan dan keupayaan yang diperlukan untuk menghadapi cabaran-cabaran tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Pengarah Urusan Kumpulan, Mohamad Helmy Othman Basha, berkata kejayaan ini hasil inisiatif kecemerlangan operasi yang berterusan.

“Kami sedia maklum keadaan ekonomi serta geopolitik dunia mungkin memerlukan perubahan strategik untuk memastikan syarikat ini kekal di atas landasan yang kukuh sepanjang tahun kewangan 2025.

“Dalam pada itu, satu perkembangan positif bagi sektor perniagaan taman perindustrian telah kami capai baru-baru ini melalui perjanjian tiga pihak untuk membangunkan salah satu tanah utama kami di Bukit Pelandok, Negeri Sembilan yang berada dalam kawasan pertumbuhan Malaysia Vision Valley 2.0.”

Mengenai tinjauan bagi tahun ini, SD Guthrie menjangkakan harga MSM menurun dalam jangka pendek berikutan peningkatan pengeluaran dan cuaca yang menggalakkan.

Permintaan bagi pencampuran biodiesel juga dijangka berkurangan memandangkan keadaan harga minyak mentah yang rendah pada masa ini.

“Walaupun tarif yang diumumkan oleh Amerika Syarikat memberi kesan langsung minimum kepada MSM yang dihasilkan oleh Malaysia, namun ia mencetuskan keraguan dan ketidakstabilan harga dalam pasaran minyak sayuran.

“Syarikat akan tetap berwaspada terhadap sebarang potensi perubahan kawal selia dan perkembangan perdagangan antarabangsa yang boleh memberi kesan kepada keadaan makroekonomi secara meluas,” menurut kenyataan itu.

SD Guthrie, sebelum ini dikenali Sime Darby Plantation, kini merupakan antara pengeluar utama minyak sawit disahkan mampan (CSPO) dunia, dengan 12% pengeluaran global.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.