
Namanya tersenarai dalam kenyataan bersama dikeluarkan PKR Wilayah Persekutan diketuai Azman Abidin (Titiwangsa), Fahmi Fadzil (Lembah Pantai), Fikri Abdul Aziz (Putrajaya), Andre Lai (Wangsa Maju) dan Neo Wong (Kepong).
Afdlin Shauki (Setiawangsa), Asheeq Ali (Batu), S Thiyagaraj (Seputeh), Anwar Pawan Chik (Bukit Bintang), G Vignesvaran (Segambut) Simsudin Sidek (Labuan) dan Mohamad Raimi (Cheras).
“PKR memerlukan sosok seperti Nurul Izzah yang mempunyai diplomasi yang tinggi untuk merapatkan saf dan menyatukan kekuatan dalaman serta memperkukuh jalinan bersama rakan-rakan gabungan,” menurut mereka.
Pendirian Syed Badli itu dibuat sehari selepas beliau menggesa Rafizi Ramli memberi laluan kepada Saifuddin Nasution Ismail untuk mengambil alih jawatan timbalan presiden PKR.
Dakwanya, spekulasi peletakan jawatan Rafizi dan keputusan mengambil cuti panjang menimbulkan keresahan dalam kalangan ahli parti dan kerajaan perpaduan.
Rafizi kembali bertugas sebagai menteri ekonomi sejak semalam dan hari ini mengumumkan akan mempertahankan jawatan pada pemmilihan parti bulan ini.
Syed Badli turut dipetik berkata, Saifuddin yang juga menteri dalam negeri adalah pemimpin senior dan berpengalaman yang mampu membantu Presiden Anwar Ibrahim mengemudi parti sebagai orang nombor dua.
Pada pemilihan 2022, Rafizi menewaskan Saifuddin dengan majoriti besar 16,668 undi.
Minggu lalu, khabar angin bertiup kencang mendakwa Rafizi sudah meletak jawatan sebagai menteri ekonomi selepas pemilihan bahagian PKR yang menyaksikan beberapa pemimpin sehaluan dengannya kalah.
Pemilihan jawatan timbalan presiden PKR menjadi perhatian selepas Izzah yang juga bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh menerima banyak sokongan untuk bertanding.
Setakat ini, sebahagian besar bahagian PKR di Selangor, Perak, Pahang, Johor, Kedah dan Melaka menyatakan sokongan kepadanya.
Selain itu, pimpinan utama sayap Wanita dan Pemuda PKR turut menyatakan sokongan terhadap Izzah.
Saifuddin juga disebut bakal bertanding jawatan itu namun beliau sehingga kini belum membuat keputusan.