
Presiden Jais Abdul Karim berkata undang-undang sedia ada seperti Akta Perlindungan Saksi 2009 perlu seiring pelaksanaan yang lebih ketat termasuk pengawasan digital, pengiring rasmi serta kerahsiaan lokasi bagi saksi penting kes rasuah berprofil tinggi.
Beliau turut mencadangkan penubuhan Unit Saksi Berisiko Tinggi (USB) di bawah kerjasama SPRM, polis dan Jabatan Peguam Negara untuk menjamin keselamatan saksi dari awal hingga akhir proses pendakwaan.
“Insiden ini bukan sahaja mengejutkan, malah mencemarkan kredibiliti sistem keadilan negara dan memperlihatkan kelemahan serius dalam perlindungan terhadap saksi kes berprofil tinggi.
“Jika saksi pun tidak selamat, bagaimana mungkin rakyat boleh percaya kepada kecekapan sistem undang-undang?” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, Sangeet Kaur Deo yang mewakili keluarga Ling berkata, wanita itu dalam permohonannya mencabar dakwaan SPRM menggunakan aktanya dan undang-undang anti pengubahan wang haram untuk “memberi tekanan kepadanya bagi menyelesaikan pertikaian persendirian”.
Menurutnya, Ling turut mendakwa dia ditahan dan direman tanpa asas undang-undang serta melanggar proses wajar.
Sebelum ini, New Straits Times melaporkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki membidas individu mendakwa agensi itu tidak memberi perlindungan secukupnya kepada Ling sebelum kehilangannya.
Katanya, tidak adil menyalahkan SPRM atas kehilangannya kerana ia “di luar kawalan kami dan berlaku di jalan awam, bukan dalam kawasan SPRM”.
Semalam, pemandu e-panggilan yang membawa Ling ke ibu pejabat SPRM pada 9 April lalu dilaporkan berkata, beliau dipaksa menekan butang “complete job” selepas Ling dilarikan penculiknya yang berpakaian seragam dan vest polis.