Ahli Bersatu dikompaun berhubung kandungan TikTok

Ahli Bersatu dikompaun berhubung kandungan TikTok

SKMM kenakan kompaun RM10,000 terhadap Shafiq Abdul Halim berhubung kandungan di TikTok berkaitan isu pekerja Menara KL.

Shafiq Abdul Halim
Ketua penerangan Bersatu Hulu Langat, Shafiq Abdul Halim, kata peguamnya sedang sediakan jawapan rasmi terhadap surat tawaran kompaun SKMM. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki dikenakan kompaun RM10,000 berhubung suatu kandungan di TikTok berkaitan isu pekerja Menara Kuala Lumpur.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkata ia mengenakan kompaun terhadap Shafiq Abdul Halim kerana memuat naik kandungan jelik melampau membabitkan sentimen kaum dan agama.

“Tindakan ini diambil setelah mendapat izin pengkompaunan dari Jabatan Peguam Negara serta hasil siasatan yang dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia,” menurut kenyataan.

Sementara itu, Shafiq yang juga ketua penerangan Bersatu Hulu Langat menafikan dakwaan SKMM, mengatakan beliau telah mengemukakan rujukan fakta yang relevan kepada penyiasat semasa sesi siasatan.

Menurutnya lagi, seramai tiga hingga empat pegawai SKMM menyerahkan dokumen tawaran kompaun di kediamannya pada 11.30 pagi tadi.

“Tawaran kompaun yang dikemukakan juga tidak disertakan dengan penjelasan yang jelas berkenaan asas penentuan kesalahan yang didakwa dikenakan ke atas saya,” katanya di Facebook.

Shafiq berkata beliau telah mendapatkan nasihat perundangan, dan peguamnya sedang menyediakan jawapan rasmi terhadap surat tawaran kompaun tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.