Tapak milik bukan Muslim, Masjid Jamek Ar-Ridzuan ‘diselamat’

Tapak milik bukan Muslim, Masjid Jamek Ar-Ridzuan ‘diselamat’

Pemilik berbangsa Cina setuju berurusan dengan pihak masjid terlebih dahulu dalam usaha melepaskan pegangannya.

masjid jamek
Keseluruhan tapak Masjid Jamek Ar-Ridzuan di Alor Pongsu, Bagan Serai, dianggarkan RM1.8 juta. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Isu tapak Masjid Jamek Ar-Ridzuan di Bagan Serai sejak 2012 akhirnya selesai selepas pemilik bukan Muslim setuju menjual tanahnya yang dianggarkan RM1.8 juta.

Adun Alor Pongsu, Noor Azman Ghazali, berkata pengerusi masjid telah menghubungi tuan tanah berbangsa Cina yang akhirnya bersetuju berurusan dengan pihak masjid terlebih dahulu, dalam usahanya melepaskan pegangannya.

“Saya bangga dengan langkah ini. Boleh dikatakan ini contoh pertama yang mana semua kutipan derma daripada semua masjid di negeri ini disalurkan untuk tabung ini. Ini satu perkembangan yang sangat melegakan,” katanya menurut Kosmo.

Semalam, kerajaan Perak bersetuju mengumpulkan kutipan derma solat Jumaat di negeri itu bagi menebus semula tanah masjid tersebut, yang pada awalnya diwakafkan untuk pembinaan masjid, tetapi telah dijual kepada pembeli bukan Islam pada 2012.

Menteri Besar Perak Saarani Mohamad, berkata anggaran nilai tanah berkenaan ialah RM1.8 juta.

Saarani melihat kutipan semasa solat Jumaat yang terkumpul mencecah sebanyak RM5 juta hingga RM7 juta sebulan boleh digunakan untuk menyelamatkan masjid tersebut dan menunjukkan solidariti umat Islam Perak.

Menurut laporan, lokasi Masjid Jamek Ar-Ridzuan menjadi sebahagian daripada keseluruhan tanah yang dimiliki oleh pemilik tersebut. Pemilik dikatakan bersetuju menjual keseluruhan tanah, bukan sekadar tapak masjid itu sahaja.

Difahamkan, usaha awal pernah digerakkan termasuk menyediakan tabung kutipan khas untuk menebus semula tanah tersebut, tetapi tidak berjaya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.