
Peguam Shafee Abdullah memaklumkan kepasda Hakim Collin Lawrence Sequerah bahawa pihak pembelaan menamatkan kes mereka hari ini selepas memanggil saksi terakhir, Tay Eue Kam.
Pendengaran bagi pihak pembelaan bermula pada 2 Dis tahun lalu.
Seramai 26 orang saksi telah dipanggil, termasuk bekas pegawai bank Goldman Sachs Roger Ng, bekas ketua polis negara Fuzi Harun dan bekas pengerusi 1MDB Lodin Wok Kamaruddin.
Sequerah menetapkan 21 hingga 31 Oktober untuk mendengar hujahan lisan daripada pihak pembelaan dan pendakwaan.
“Pihak pembelaan mesti memfailkan hujahan bertulis mereka sebelum 30 Sept dan pihak pendakwaan mesti memfailkan jawapan mereka sebelum 10 Oktober,” katanya.
Kes pendakwaan sebelum ini telah mengambil masa 235 hari sejak perbicaraan bermula pada 28 Ogos 2019.
Selain Shafee, Najib turut diwakili oleh peguam Tania Scivetti dan Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin.
Timbalan pendakwa raya Kamal Baharin Omar, Ahmad Akram Gharib, Mustaffa P Kunyalam, T Deepa Nair dan Nadia Izhar mewakili pihak pendakwaan.
Najib dibicarakan atas 25 pertuduhan penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan dana berjumlah RM2.28 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun AmBank beliau antara Feb 2011 dan Dis 2014.