Rafizi menteri ‘hardworking’, tak patut difitnah, kata pemimpin PKR Sabah

Rafizi menteri ‘hardworking’, tak patut difitnah, kata pemimpin PKR Sabah

Fekirie Gobet dari PKR Sabah berkata Rafizi Ramli yang menjalankan tugas dengan baik selain jarang mengambil cuti, juga perlu berehat.

Rafizi Ramli
Tindakan Rafizi Ramli mengambil cuti panjang mencetuskan spekulasi termasuk dakwaan beliau akan meletak jawatan sebagai menteri ekonomi.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin PKR membidas pihak cuba mengambil kesempatan terhadap ‘cuti panjang’ Menteri Ekonomi Rafizi Ramli, merujuk gesaan timbalan presiden itu berundur dan memberi laluan kepada Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.

Mempertahankan Rafizi sebagai menteri ‘cemerlang’, Timbalan Pengarah Komunikasi PKR Sabah Fekirie Gobet berkata pemimpin nombor dua PKR itu sangat berjaya menjalan amanah di Kementerian Ekonomi dan jarang mengambil cuti.

Fekirie Gobet
Fekirie Gobet.

“Rafizi juga perlu masa rehat apatah lagi beliau yang umum tahu mempunyai beberapa masalah kesihatan. Namun beberapa individu termasuk Syed Badli inilah antara yang sengaja menjadikan cuti Rafizi sebagai satu isu dan kaitkan dengan ketidakpuasan hati terhadap pemilihan.

“Walaupun cuti Rafizi panjang, namun saya dimaklumkan hari ini beliau telah kembali bekerja memandangkan banyak keperluan yang memerlukan beliau sendiri hadir selaku Menteri Ekonomi. Inilah menteri ‘hardworking’ yang patut dijadikan contoh dan bukan difitnah,” katanya dalam kenyataan.

“Saya ingin memberi amaran kepada mana-mana pihak yang cuba menimbulkan pelbagai spekulasi negatif dan menjadi ejen pemecah belah untuk berhenti melakukan kerosakan pada parti.”

Beliau mengulas kenyataan Ketua PKR Titiwangsa Syed Badli Shah Syed Osman yang menggesa Rafizi memberi laluan kepada Saifuddin untuk mengambil alih jawatan timbalan presiden parti.

Dakwanya, spekulasi peletakan jawatan Rafizi dan keputusannya mengambil cuti panjang menimbulkan keresahan di kalangan ahli parti serta kerajaan perpaduan.

Khabar angin bertiup kencang minggu lalu mendakwa Rafizi sudah meletak jawatan sebagai menteri ekonomi selepas pemilihan bahagian PKR yang menyaksikan beberapa pemimpin sehaluan dengannya tewas.

Ia termasuk Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar yang juga naib presiden, Nik Nazmi Nik Ahmad di Setiawangsa.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga presiden PKR dipetik berkata cuti panjang Rafizi bukan isu.

Saifuddin yang tewas kepada Rafizi pada pemilihan parti 2022 belum membuat keputusan berhubung jawatan bakal ditandingnya.

Ahad lalu, beliau dilaporkan sudah mengadakan perbincangan panjang lebar dengan Rafizi dan beberapa pertemuan dengan Anwar mengenai bertanding pemilihan parti.

Menurutnya, pengumuman akan dibuat tidak lama lagi sebelum pencalonan ditutup Jumaat ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.