
Bekas naib presiden MCA, Ti Lian Ker, berkata DAP sering ‘menyanyikan lagu berlainan’ pada waktu berbeza untuk memenuhi kepentingan mereka.
Antaranya ketika DAP memutuskan bekerjasama dengan Dr Mahathir Mohamad pada PRU 2018, walaupun sebelum itu parti tersebut begitu lantang mengkritik bekas perdana menteri sepanjang 22 tahun pemerintahannya.
Begitu juga ketika DAP memuji PAS ketika kedua-dua parti menjadi sekutu dalam gabungan Pakatan Rakyat, namun kini mengecam parti Islam itu selepas haluan mereka berbeza.
Ti berkata, DAP kini bersungguh-sungguh menyesuaikan diri dengan Umno walaupun sebelum ini mereka menghentam parti itu.
“DAP kelihatan sedang menggadai prinsip mereka. Berbeza dengan DAP, MCA tidak akan mengubah pendirian.
“Perbezaan yang tidak mungkin dapat diselesaikan inilah yang menghalang kedua-dua parti daripada bekerjasama, apatah lagi bergabung,” katanya kepada FMT.
Pandangan supaya MCA bergabung dengan DAP disuarakan Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin, namun ia segera ditolak Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook, yang menyatakan itu hanya pandangan peribadi dan bukan pendirian parti.
Loke juga berkata, beliau tidak nampak ada kemungkinan seperti itu.
Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong, kemudian berkata kedua-dua parti seperti minyak dan air, berbeza secara asas dari segi ideologi dan pendekatan politik.
“Saya tidak bersetuju dengan Loke dalam banyak perkara, tetapi saya setuju bahawa penggabungan itu mustahil,” katanya.