
Beliau tertanya-tanya mengapa isu perkauman masih berlaku di Semenanjung Malaysia selepas lebih 60 tahun merdeka, sedangkan masyarakat pelbagai kaum di Sabah hidup dalam harmoni dan meraikan perayaan masing-masing tanpa halangan.
Bendahari Umno negeri itu berkata, rakyat Sabah mengamalkan agama masing-masing dengan rasa hormat dan saling memahami kerana keharmonian antara agama “sebahagian daripada kehidupan seharian”.
Beliau mengakui memang wujud perbezaan politik, tetapi ia bukan berdasarkan kaum atau agama dan tidak memecahbelahkan rakyat Sabah.
“Berbeza pandangan politik bukan alasan untuk memutuskan persahabatan atau hubungan kejiranan. Politik di Sabah lebih tertumpu kepada pembangunan dan keperluan rakyat – seperti peluang pekerjaan, jalan raya, pendidikan dan bekalan air bersih.
“Tidak perlu mengulas panjang tentang apa yang berlaku di tempat lain, tetapi satu perkara jelas – isu perkauman seperti itu tidak wajar dibiarkan bertapak di Sabah.
“Keharmonian dan perpaduan yang wujud di Sabah adalah aset yang sangat berharga. Ia perlu dipertahan dan dipelihara. Teruskan hidup dengan semangat saling menghormati tanpa mengira kaum, agama atau pegangan politik,” kata Adun Usukan itu dalam catatan Facebook.