
Komander Briged Tenggara PGA, Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata kedua-dua rampasan dilakukan anggotanya ketika Op Taring Wawasan.
Beliau berkata, kejadian pertama membabitkan pemeriksaan ke atas sebuah lori di Sekat Pintas Serongga, Rantau Panjang pada 7.30 malam dan menemui 4,000 pokok buah serta 1,600 pokok bunga pelbagai jenis.
“Pemandu lori berusia 34 tahun itu gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan tumbuhan berkenaan. Nilai rampasan dianggarkan RM910,000,” katanya dalam kenyataan semalam.
Dalam operasi sama, Nik Ros Azhan, berkata pihaknya merampas 1,000 pokok buah-buahan dan 2,650 pokok bunga hiasan bernilai RM565,000 dalam pemeriksaan di Jalan Rantau Panjang-Kampung Kedap pada 9 malam.
Beliau berkata, pemandu lori berusia 44 tahun juga gagal menunjukkan sebarang dokumen berkaitan tanaman terbabit.
“Semua pokok dirampas itu dipercayai diseludup dari Thailand dan disyaki mengandungi serangga perosak serta penyakit.
“Suspek dan barang rampasan diserahkan kepada Jabatan Pertanian Kelantan untuk tindakan selanjutnya,” katanya menambah kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 5 Akta Kuarantin Tumbuhan 1976.